Anda di sini

Misi khas minyak sawit Malaysia ke EU membuahkan hasil positif: Mah

Advertisement

Misi menjadi bukti minyak sawit Malaysia dilaksanakan secara telus

PUTRAJAYA: Misi khas minyak sawit Malaysia ke Parlimen Eropah di Strasbourg, Perancis pada 12-13 Jun, 2017 bagi membincangkan resolusi Kesatuan Eropah (EU) mengenai komoditi itu serta pembasmian hutan, ternyata membuahkan hasil menerusi beberapa pertemuan positif dengan Ahli Parlimen Eropah (MEP) dan pihak berkepentingan terbabit.

 Misi diketuai oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong itu antara lainnya membincangkan resolusi berkenaan dengan pihak Suruhanjaya EU dan MEP.

 Ini termasuk perbincangan dengan anggota berpengaruh Parlimen Eropah itu seperti Pesuruhjaya Alam Sekitar, Hal Ehwal Maritim dan Perikanan EU, Karmenu Vella serta Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Penyelidikan dan Tenaga Parlimen Eropah, Jerzy Buzek.

 “Mesyuarat itu menumpukan kepada cadangan Suruhanjaya Eropah berikutan kelulusan Resolusi Resolusi Parlimen Eropah mengenai Minyak Sawit dan Pembasmian Hutan pada 4 April, 2017.

 “Apa yang penting adalah misi ini menjadi bukti bahawa minyak sawit Malaysia (dilaksanakan) secara telus dan kita mampu mempertahankan haknya,” kata Mah dalam satu kenyataan, semalam.

 Menurutnya, dalam sesi mesyuarat berkenaan, beliau menjelaskan pendirian, dasar kebangsaan dan pelbagai tindakan dilaksanakan Malaysia dalam industri itu bagi memastikan negara ini kekal sebagai peneraju global untuk mencapai Sasaran Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya berkaitan industri minyak sawit.

 Kalangan MEP berkenaan turut diberi penjelasan mengenai komitmen berterusan Malaysia dalam usaha penanaman minyak sawit secara lestari, terutama keputusan kerajaan baru-baru ini yang mewajibkan para pengeluar dan pemproses mematuhi Pensijilan Minyak Sawit Mapan (MSPO) yang disasarkan untuk dicapai menjelang akhir 2019, katanya.

 “Pihak Pesuruhjaya dan MEP itu menyambut baik usaha Malaysia dan turut menghargai persiapan negara ini menggariskan sasaran mampan yang sebegitu tinggi bagi industri berkenaan,” katanya.

 Mah turut menyifatkan penerimaan oleh MEP berkenaan terhadap amalan minyak sawit lestari itu sebagai peluang bermakna untuk Malaysia serta memperakui keperluan untuk mengetengahkan semua usaha dan hasil positif itu, khususnya kepada pihak akhir dan pengguna minyak sawit.

 “Buat masa ini, penghargaan terhadap peranan Malaysia memacu agenda kemampanan itu kurang diketahui kalangan mereka di luar lingkungan industri minyak sawit itu,” katanya.

 Selain itu, Mah turut mengadakan tiga sesi perbincangan meja bulat dengan kumpulan pihak berkepentingan minyak sawit berbeza di Eropah, termasuk Pakatan Minyak Sawit Eropah, Kumpulan Penasihat Minyak Sawit Lestari Eropah dan Pensijilan Lestari dan Karbon Antarabangsa.

 “Kesemua pihak terbabit juga memberi komitmen untuk mempertingkatkan lagi kerjasama erat mereka dengan minyak sawit Malaysia dan akan terus menyokong usaha negara ini di Eropah,” katanya.

 EU merupakan destinasi eksport produk minyak sawit Malaysia dengan nilainya mencecah RM10.26 bilion, tahun lepas.

 Bagi tempoh Januari hingga Mac 2017, eksport produk minyak sawit ke EU bernilai RM2.78 bilion iaitu peningkatan sebanyak 27.3 peratus berbanding tempoh sama pada 2016. — Bernama

Advertisement