Anda di sini

Kes warga asing dituduh guna dadah disebut lanjut 14 Julai

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret semalam menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki warga asing yang dituduh menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.

Kwan Kun Shing, 54, dari Brunei Darussalam telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.40 pagi, 11 Jun lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Terdahulu, pegawai pendakwa memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement