Anda di sini

Bekas Exco, anak dan perunding hartanah hadapi 21 pertuduhan gubah wang haram RM35.78 juta

Advertisement
 Abdul Latiff (depan tengah, baju oren) bersama anaknya Ahmad Fauzan (tengah, baju oren) dan Amir (belakang tengah, baju oren) dihadapkan ke Makhamah Sesyen semalam atas 21 tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram melibatkan nilai RM35.78 juta di Johor Bahru. — Gambar Bernama
TERTUDUH: Abdul Latiff (depan tengah, baju oren) bersama anaknya Ahmad Fauzan (tengah, baju oren) dan Amir (belakang tengah, baju oren) dihadapkan ke Makhamah Sesyen semalam atas 21 tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram melibatkan nilai RM35.78 juta di Johor Bahru. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Bekas Exco Johor Datuk Abd Latif Bandi dan anak lelakinya serta seorang perunding hartanah dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap  21 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram dan menerima hasil daripada aktiviti haram itu membabitkan RM35.78 juta.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan  Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Abd Latif, 51, berdepan empat pertuduhan pengubahan wang haram iaitu transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram iaitu pelupusan wang dan sembilan pertuduhan menerima wang yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melibatkan nilai keseluruhannya RM17.59 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan antara 11 Dis 2013 dan 19 Dis tahun lepas  di beberapa cawangan bank berlainan sekitar Johor Bahru.

Anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 25, menghadapi empat pertuduhan menerima wang merupakan hasil daripada aktiviti haram dengan nilai kesemuanya RM735,000 antara 18 Julai 2014 dan 23 Dis 2016, di sebuah bank di Johor Jaya.

Sementara itu, perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub, 44,  menghadapi empat  pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan  RM17.455 juta di antara 15 Nov 2013 dan 14 Dis 2016 di sebuah bank di Larkin Perdana.

Abd Latif dan anaknya didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (a) dan Seksyen 4(1) (b) manakala Amir Shariffuddin mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan  Pengubahan  Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta  sama yang membawa hukuman  denda maksimum tidak lebih lima kali ganda jumlah atau nilai agregat transaksi atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Fauzi membenarkan Abd Latif diikat jamin RM500,000, Ahmad Fauzan Hatim sebanyak RM200,000 dan Amir Shariffuddin sebanyak RM400,000  masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Julai bagi sebutan semula kes.

Abd Latif dan anaknya diwakili barisan peguam yang diketuai Datuk Hasnal Rezua Merican, Amir Shariffuddin diwakili peguam Asrul Z. Stork manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Asnawi Abu Anifah. — Bernama

Advertisement