Anda di sini

Bayi lelaki baharu lahir ditinggalkan di tepi gerai

Advertisement
 Keadaan bayi lelaki dalam bungkusan beg tidak berzip di tepi gerai yang menjual pulut cendol dan cucur udang di Jalan Salut, petang Isnin lalu.
ANGKARA DURJANA: Keadaan bayi lelaki dalam bungkusan beg tidak berzip di tepi gerai yang menjual pulut cendol dan cucur udang di Jalan Salut, petang Isnin lalu.

KOTA KINABALU: Seorang peniaga terkejut sebaik melihat seorang bayi lelaki yang dihurung semut dan ditinggalkan di dalam bungkusan beg di tepi gerai menjual pulut cendol dan cucur udang di Jalan Salut, petang Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata bayi lelaki yang cukup sifat itu dijumpai anak peniaga terbabit kira-kira jam 12 tengah hari.

Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati peniaga hanya menjumpai bayi itu apabila dimaklumkan anaknya yang menyedari satu bungkusan yang bergerak-gerak di tepi gerai mereka ketika memulakan perniagaan.

Sebaik diperiksa, peniaga menemui seorang bayi lelaki yang dibaluti kain di dalam beg berwarna biru yang tidak berzip dan dihurung semut,” katanya.

Chandra berkata peniaga terbabit kemudian mengalihkan bayi itu dari tempat asal ke kawasan redup memandangkan lokasi kejadian terdedah kepada cahaya matahari, sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Pemeriksaan awal pegawai perubatan di Hospital Tuaran terhadap bayi itu mendapati mangsa baharu sahaja dilahirkan ketika diletakkan di lokasi kejadian.

Mangsa turut disahkan terkena jangkitan kuman kerana ditinggalkan di kawasan kotor dan bersemut. Bagaimanapun, bayi itu disahkan dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Tuaran,” katanya.

Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Shajida Shara di talian 0177240402.

Advertisement