Anda di sini

Bank Mandiri buka cawangan di Malaysia

Advertisement

Kerajaan Malaysia melalui BNM telah memberi lampu hijau kepada bank berkenaan

JAKARTA: Bank Mandiri, sebuah bank komersial terkemuka di negara ini akan mengembangkan sayap perniagaan ke Malaysia dengan membuka cawangannya dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan Koran Tempo, kerajaan Malaysia melalui Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberi lampu hijau permohonan status ‘Qualified ASEAN Bank’ (QAB) kepada Bank Mandiri baru-baru ini.

Akhbar itu memetik Ketua Pegawai Eksekutif Bank Mandiri, Kartika Wirjoatmodjo sebagai berkata, pihaknya kini mengajukan cadangan terakhir, dan menjangkakan memperoleh lesen operasi pada Ogos ini.

Katanya bank berkenaan memperuntukan dana sebanyak RM300 juta untuk pembukaan cawangannya di ibu negara Malaysia itu.

Beliau berkata pihak bank akan menyuntik modal dalam tiga tahap dan komitmen awal ialah sekitar RM100 juta atau AS$50 hingga AS$60 juta.

Kerja-kerja pembukaan cawangan itu kini diperingkat pengurusan,dan dijangkakan selesai tidak lama lagi.

Bank Mandiri ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan Republik Indonesia pada 1998, dengan 60 peratus pegangan sahamnya dimiliki oleh kerajaan Indonesia manakala bakinya saham milik awam tempatan dan luar negara.

Menerusi 2,505 cawangan perkhidmatan penuh perbankan di seluruh Indonesi, Bank Mandiri merupakan bank terbesar di Indonesia dari segi pemilikan aset dan dana. — Bernama

Advertisement