Anda di sini

Pengorbanan pasukan keselamatan terus dihargai

Advertisement
 Musa menyampaikan sumbangan kuih Hari Raya kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah Nordin Fauzi (dua kanan) pada majlis penyerahan kuih Aidilfitri kepada pasukan keselamatan di Menara Tun Mustapha semalam. — Gambar Bernama
kuih raya: Musa menyampaikan sumbangan kuih Hari Raya kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah Nordin Fauzi (dua kanan) pada majlis penyerahan kuih Aidilfitri kepada pasukan keselamatan di Menara Tun Mustapha semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus menghargai pengorbanan anggota pasukan keselamatan dalam menjaga keselamatan negara, khususnya pada musim perayaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata pasukan keselamatan sentiasa bekerja keras, walaupun pada hari rakyat bergembira, demi memastikan rakyat terus dapat menikmati keamanan dan keselamatan.

“Kita (rakyat) juga terkenangkan pengorbanan anggota pasukan keselamatan dalam kegembiraan kita menyambut hari lebaran.

“Untuk itu, rakyat menzahirkan ucapan terima kasih dengan pemberian kuih-muih tanda ikhlas daripada rakyat di Sabah,” katanya pada majlis penyerahan kuih-muih Aidilfitri kepada anggota pasukan keselamatan di sini semalam.

Musa turut mengingatkan rakyat supaya menyokong pengorbanan pasukan keselamatan dengan membantu menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan untuk tindakan pihak berkuasa.

Sebanyak 495 kotak berisi kuih-muih, yang disumbangkan oleh 36 penyumbang termasuk 15 pertubuhan bukan kerajaan wanita, diagihkan kepada sembilan pasukan keselamatan yang bertugas ketika Aidilfitri ini.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Komander Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCom) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid memaklumkan pihaknya tidak akan leka dalam menjalani operasi keselamatan ketika musim perayaan, khususnya di perairan Sabah.

Menurutnya, pasukan keselamatan telah mengadakan rondaan bersama negara Filipina sebanyak dua kali bulan ini sebagai langkah keselamatan susulan serangan kumpulan yang mempunyai kaitan dengan pergerakan pengganas Daesh di Bandar Marawi, Mindanao sejak bulan lepas.

Katanya, pihaknya akan meningkatkan kekerapan rondaan bersama Filipina dan juga Indonesia jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang maklumat mengenai cubaan masuk oleh rakyat Filipina ke Sabah susulan serangan itu.

“Namun, tindakan kami (PDRM) ialah untuk terus menentukan perairan kita tidak diceroboh sama sekali, khususnya pada musim perayaan,” katanya. — Bernama

Advertisement