Anda di sini

Pelaksanaan cukai pelancongan bukan kerana tidak mempunyai kewangan kukuh

Advertisement
 Sapawi (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas.
UNTUK BERBUKA: Sapawi (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas.

BEAUFORT: Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kerajaan tidak mempunyai kewangan kukuh kerana melaksanakan pelbagai sistem cukai dan yang terbaharu cukai pelancongan.

Menurutnya pelaksanaan cukai pelancongan itu bukan disebabkan oleh faktor ‘terdesak’ namun ia bertujuan menambah baik fasiliti pelancongan di negeri ini termasuklah memperbanyakkan lagi kemudahan yang diperlukan.

Katanya, peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini jelas membuktikan bahawa Malaysia mempunyai ekonomi yang stabil dan dijangka mencatat pertumbuhan meskipun berdepan pelbagai cabaran global.

Menerusi kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia berjaya menarik pelabur asing terutama negara kuasa besar seperti China, negara Timur Tengah dan yang terbaharu negara India.

Ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja mempunyai ekonomi kukuh tetapi turut menggambarkan politik stabil yang secara langsung memberi keyakinan kepada pelabur luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Berbuka Puasa bersama Rakyat di Masjid Kampung Lawa, di sini, Sabtu lepas.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi, Ketua Pemuda UMNO Sipitang Yamani Hafez Musa dan Ketua Puteri UMNO Sipitang Suzie Hamat.

Sapawi diminta mengulas berhubung isu pelaksanaan cukai pelancongan yang dikenakan terhadap hotel serta rumah penginapan berdaftar yang berkuat kuasa bermula 1 Julai depan.

Berikutan pelaksanaan cukai itu, pelbagai reaksi hangat dan dakwaan tidak berasas dilemparkan pihak tertentu sehingga mengatakan bahawa ekonomi Malaysia ketika ini tidak begitu stabil.

Sempena majlis berbuka puasa itu, Sapawi yang juga pengarah Yayasan Sabah turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf serta sumbangan RM10,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lumadan untuk menggerakkan program di peringkat komuniti.

Advertisement