Anda di sini

Ncell Axiata bebas daripada isu cukai, bayar deposit pendahuluan RM560 juta

Advertisement

KUALA LUMPUR: Anak syarikat 80 peratus milik Axiata Group Bhd, Ncell Pvt Ltd, bebas sepenuhnya daripada cukai keuntungan modal oleh Large Tax Payer Office (LTPO) Nepal, selepas membuat deposit pendahuluan sebanyak 13.6 bilion rupee Nepal (RM560 juta).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axiata berkata Ncell telah menyelesaikan perkara berkaitan cukainya melalui jualan tidak langsung oleh pemilik sebelumnya, TeliaSonera Norway Nepal Holdings AS.

Deposit pendahuluan dibuat bagi pihak TeliaSonera, katanya.

TeliaSonera memiliki 100 peratus kepentingan dalam Reynolds Holding yang berpangkalan di Norway, yang sebelum ini memiliki 80 peratus daripada Ncell.

Berdasarkan kepada jumlah deposit pendahuluan oleh Ncell setakat ini, LTPO dalam surat pengesahannya kepada Ncell hari ini mengesahkan dan mengakui bahawa Ncell telah mematuhi sepenuhnya arahan mendeposit cukai pendahuluan mengikut Seksyen 95A Akta Cukai Pendapatan, 2058 (2002).

Syarikat kini bebas sepenuhnya berkaitan dengan transaksi yang menarik cukai keuntungan modal di bawah Akta Cukai Pendapatan, 2058 (2002),” katanya.

Pengarah Urusan Ncell, Simon Perkins berkata pengendali mudah alih itu sentiasa mematuhi undang-undang negara dan melaksanakan standard tadbir urus dan pematuhan yang tinggi berkaitan dengan memenuhi tanggungjawab cukainya.

Dengan penyelesaian ini, Ncell kini dapat memberi tumpuan kepada meneruskan pelaburan dan pelan pengembangan perkhidmatannya, terutamanya, berkaitan dengan pelancaran 4G  yang akan melonjakkan ekonomi digital Nepal, tanpa sebarang halangan,” katanya.

Setakat ini, Ncell kekal menjadi antara pembayar cukai terbesar di Nepal dengan lebih 160 bilion rupee Nepal (RM6.58 bilion) dibayar dalam tempoh 13 tahun lepas. Modal dan pelaburan operasinya pada 2016 sahaja berjumlah AS$258 juta (RM1.1 bilion).

Melalui operasinya, secara langsung dan tidak langsung, Ncell menyokong hampir kepada 110,000 pekerjaan di Nepal. — Bernama

Advertisement