Anda di sini

Lelaki disyaki merompak wanita direman tiga hari

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki merompak seorang wanita awal tahun ini diperintahkan Mahkamah Majistret di sini supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah Nuur Hafizah Yatim setelah membenarkan permohonan reman dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Fitri Kukung daripada Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Mohd Fitri memberitahu bahawa mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Dalam aduannya, mangsa mendakwa sekitar jam 11.50 malam, 13 Januari tahun ini ketika berehat sambil berbual menggunakan telefon bimbit dalam sebuah kenderaan di tepi jalan berhampiran Dataran Kipas di sini, tiba-tiba dia didatangi dua lelaki tidak dikenali berusia lingkungan 40 tahun.

Lelaki terbabit meragut telefon bimbitnya dari arah belakang. Akibat kejadian itu, mangsa kerugian RM1,890.

Bertindak atas maklumat, sekitar jam 8.30 pagi, 11 Jun lalu polis menahan seorang lelaki di hadapan sebuah rumah Sungai Krokop di sini kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya, Mohd Fitri berkatareman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek, 33, diperlukan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes yang disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman tiga hari ke atas suspek dan tempoh reman tamat pada 15 Jun ini.

Advertisement