Anda di sini

‘Infaq Sedekah Jariah’ bantu bayar tunggakan peminjam

Advertisement

AIM akan bekerjasama dengan Kelab Usahawan Sahabat

ALOR SETAR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah melancarkan program ‘Infaq Sedekah Jariah’ (ISJ) sebagai usaha untuk membantu membayar tunggakan pinjaman yang tidak mampu dibayar oleh anggotanya.

Pengerusi Eksekutifnya Datuk Dr Zubir Harun berkata melalui program itu, AIM akan bekerjasama dengan Kelab Usahawan Sahabat dengan menjalankan perniagaan yang mana hasil yang diperoleh akan digunakan untuk membantu membayar tunggakan pinjaman anggota AIM.

Katanya, sehingga kini 98 peratus anggota AIM seluruh negara telah berjaya membayar semula pinjaman manakala dua peratus lagi ahli tidak mampu membayar semula tunggakan pinjaman kerana mempunyai masalah kewangan.

Ada setengah ahli yang tidak mampu membayar semula tunggakan pinjaman kerana situasi tertentu jadi bagi mengatasi masalah ini AIM telah melancarkan program ISJ dan fokus utama AIM sekarang adalah untuk memberi perhatian kepada ahli dalam kelompok dua peratus ini.

Hasil jualan barangan seperti sabun dan barangan keperluan harian itu akan dikumpul dan digunakan untuk membantu membayar tunggakan ahli,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadan di Pejabat Wilayah Kedah, di sini semalam.

Beliau berkata walaupun mengambil masa untuk menyelesaikan tunggakan dua peratus itu, AIM akan terus mencari jalan bagi membantu anggota-anggotanya yang berdepan dengan masalah kewangan untuk menyelesaikan tunggakan mereka.

Awal Januari lalu, sebanyak RM597,000 tunggakan pinjaman telah dicatatkan di daerah Kota Setar tetapi melalui program ini kita telah berjaya mengumpul sejumlah wang dan baki tunggakan yang tinggal sekarang adalah RM350,000.

Ini menunjukkan bahawa program ISJ ini dapat membantu memelihara kebajikan sosial dan kesejahteraan ahli-ahlinya melalui jaringan perniagaan dan penciptaan aktiviti ekonomi secara komuniti yang dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Zubir berkata sempena Ramadan ini AIM telah melancarkan program Musafir yang bermula tiga hari lepas yang mana AIM akan memberikan set makanan untuk berbuka puasa kepada penumpang-penumpang bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). — Bernama

Advertisement