Anda di sini

Golden Pharos labur RM1.6 juta buka semula kilang kayu untuk tambah pendapatan

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Golden Pharos Berhad (GPB) melabur sebanyak RM1.6 juta untuk membuka semula kilangnya Pemint Plywood Sdn Bhd, yang ditutup pada 2005 bagi menambahkan lagi pendapatan syarikat dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Pengerusinya Datuk Muhammad Pehemi Yusof berkata GPB akan membuka semula kilang tersebut yang terletak di Bandar Almuktafibillah Shah, Ketengah, pada akhir Julai atau awal Ogos ini bagi memproses kayu untuk dijadikan papan lapis.

Kita merancang agar kilang itu mampu memberi keuntungan kepada syarikat pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang zakat perniagaan GPB kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu Muhammad Pehemi menyerahkan cek bernilai RM577,610.36 kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam M Rozi Bidin yang disaksikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Tahun lepas GPB mengagihkan zakat perniagaan kepada Maidam sebanyak RM369,458.

Sementara itu Muhammad Pehemi berkata GPB juga berbangga kerana dua kawasan konsesi hutan yang diuruskan oleh anak syarikatnya mendapat pengiktirafan apabila menerima pensijilan daripada badan antarabangsa Forest Stewardship Council (FSC).

Konsesi hutan Kompleks Perkayuan Dungun seluas 108,900 hektar yang diurus oleh anak syarikat GPB, Kumpulan Pengurusan Kayu-kayan Terengganu Sdn Bhd memperoleh pensijilan FSC pada 21 April 2008.

Manakala sebuah lagi anak syarikatnya Pesama Timber Corporation Sdn Bhd (Pesama) memperoleh pensijilan FSC bagi konsesi hutan Cherul seluas 20,243 hektar pada 10 Dis 2012.

Mengenai pendapatan daripada sumber kayu, Muhammad Pehemi berkata, ia bergantung kepada jumlah bahan mentah yang diperoleh yang mana jika GPB mampu memproses 6,000 tan kayu setahun, ia boleh menghasilkan kira-kira RM250,000.

Ia akan bertambah mengikut sumber bahan mentah kerana kilang kita mampu memproses dengan jumlah yang tinggi untuk papan lapis,” katanya. — Bernama

Advertisement