Anda di sini

Dadah: Lelaki warga asing dihadapkan ke mahkamah

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pagi semalam atas tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis methamphetamine dan amphetamine.

Daniel Wee, 37, dari Brunei Darussalam didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta merta dikehendaki menjalani pengawasan selama tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh dituduh menggunakan dadah berbahaya jenis tersebut terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234) dengan cara memasukkan dadah ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 1.35 pagi, pada 11 Jun lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Bagaimanapun, tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Pendaftar Mahkamah Rendah Nuur Hafizah Yatim menetapkan 14 Jun ini sebutan semula kes memandangkan Majistret Zuraini Ali Musa sepatutnya mendengar kes itu menghadiri sidang litar mahkamah di Marudi.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement