Anda di sini

CIMB dan China Galaxy mulakan usaha sama dalam perniagaan broker saham

Advertisement

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd dan China Galaxy Securities Co. Ltd telah menandatangani perjanjian pembelian saham bagi merasmikan perkongsian strategik mereka dalam perniagaan broker saham CIMB.

 Perjanjian tersebut dimeterai melalui anak syarikat masing-masing iaitu CIMB Group Sdn Bhd dan China Galaxy International Financial Holdings Ltd (CGI).

 Perkongsian ini akan menyaksikan CIMB dan China Galaxy Securities Group, salah sebuah syarikat sekuriti terbesar China, menjadi pemegang saham sebanyak 50: 50 dalam CIMB Securities International Pte Ltd (CSI).

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata usaha sama ini akan membolehkan pihak bank menawarkan perbankan pelaburan dan khidmat modal pasaran dengan sokongan platform pengagihan ekuiti serta liputan kajian yang lebih luas.

Perniagaan broker saham CIMB akan diubah kedudukannya sebagai peneraju pembrokeran tulen dengan asas pelanggan sebuah bank ASEAN yang sejagat.

Perkongsian dengan China Galaxy Securities Group adalah amat bersesuaian dan kami berharap untuk merealisasikan sinergi hebat daripada usaha sama ini, yang turut memberikan petanda yang baik kepada masa depan perkembangan perkongsian kami,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

CIMB akan menerima balasan pembelian sebanyak S$167.0 juta (RM515.0 juta) daripada CGI bagi 50 peratus kepentingannya dalam CSI yang diambilkira berdasarkan gandaan 1.3 kali nilai aset bersih CSI disatukan sebanyak S$256.9 juta sehingga 31 Dis 2015.

Katanya, pihak-pihak terbabit akan berusaha ke arah mendapatkan kelulusan pihak berkuasa yang dijangka selesai menjelang suku keempat tahun 2017 dan juga sedang dalam perbincangan berhubung dengan perniagaan pembrokeran saham Malaysia. — Bernama

Advertisement