Anda di sini

Bersubahat bunuh suami, isteri diperintah bela diri

Advertisement

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan isteri seorang bekas pengurus bank, Ling Hang Tysr, 36, membela diri terhadap pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan suaminya, Stephen Wong lima tahun lalu.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Norcahaya Arshad menegaskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah.

Apabila diberi tiga pilihan bagi membela diri memberi keterangannya, Ling memilih memberi keterangan bersumpah di kandang saksi.

Dua pilihan lain adalah memberi keterangan tidak bersumpah di kandang tertuduh dan satu lagi untuk berdiam diri.

Ling dan teman lelakinya, Tiong King Guan, 30, kini masih bebas didakwa atas tuduhan bersubahat membunuh Wong.

Ling dan Tiong didakwa mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka dituduh bersubahat membunuh suami Ling, Wong di sebuah rumah di Hulu Sungai Merah kira-kira jam 1.30 pagi pada 14 Jun 2012.

Pesalah utama, Ling Hoe Ing, 28, didakwa dan didapati bersalah di bawah pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat untuk membunuh.

Hoe Ing mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif dan dijatuhi hukuman penjara 16 tahun pada 1 Oktober 2013.

Selepas Hoe Ing mengaku bersalah, mahkamah memberikan Tiong dan Ling pelepasan tidak terjumlah kepada suatu pembebasan daripada pertuduhan subahat tetapi pertuduhan itu dirujuk semula pada Februari 2015 selepas pendakwaan menfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Waran tangkap dikeluarkan terhadap Tiong kerana gagal hadir di mahkamah selepas pertuduhan disebut semula. Tiong bagaimanapun masih bebas sehingga hari ini.

Ini membawa kepada ahli keluarga si mati menawarkan RM50,000 ganjaran bagi mereka yang boleh memberi maklumat membawa kepada penangkapan Tiong.

Sementara itu, dalam penerusan perbicaraan semalam, Ling yang berdiri di kandang saksi memberitahu mahkamah bahawa dia bersama suaminya selama lima tahun sebelum mereka berkahwin pada Disember 2005.

Ketika ditanya oleh peguam bela ataupun ‘Defence Counsel’ (DC) Lim Heng Choo, Ling berkata selepas berkahwin mereka tinggal di rumah ibu mentuanya selama lima tahun.

Selepas itu, mereka berpindah ke rumah baharu di Hulu Sungai Merah yang dibeli olehnya dengan bayaran awal RM30,000 diberikan oleh bapanya dan selebih bakinya dibuat dalam pembayaran ansuran bulanan melalui pinjaman bank.

Menjawab soalan DC, dia berkata pada 13 Jun 2012 sebelum kejadian adalah hari bekerja biasa untuk beliau dan bangun jam 6 pagi dan kemudian menghantar anaknya ke pusat pengasuh di Jalan Bandung sebelum tiba di pejabatnya jam 8.10 pagi.

Selepas kerja jam 5.30 petang pada hari sama, Ling berkata dia pergi menjemput anaknya dan kemudian pergi membeli-belah sebelum tiba di rumah jam 8.30 malam.

Selepas melakukan beberapa kerja rumah, dia dan anaknya masuk tidur jam 10 malam dan mula melelapkan mata setengah jam kemudian.

Kepada soalan lain, Ling berkata sebelum itu dia menghubungi Tiong mengingatkannya agar membayar tunggakan ansuran pinjaman kereta.

Ling menjawab dalam ‘Affirmative’ ketika ditanya DC bahawa semasa hendak masuk tidur dia mematikan lampu di bilik tidurnya.

Sebelum itu, ketika diminta menyatakan pekerjaannya, dia memberitahu mahkamah bahawa dia adalah seorang pereka grafik selama dua tahun sebelum bekerja sebagai kerani bank kredit yang berurusan dengan pelanggan terbabit dengan pinjaman bank.

Perbicaraan bersambung semula hari ini.

Advertisement