Anda di sini

RM650,000 untuk pembangunan keagamaan di Tenom: Raime

Advertisement

TENOM: Sebanyak RM650,000 diperuntukkan untuk pembangunan keagamaan di Tenom  sejak tiga tahun lepas, kata Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi.

Menurutnya, daripada jumlah itu, yang merupakan sebahagian daripada peruntukan khas Parlimen, RM350,000 disalurkan kepada masjid dan surau, manakala RM300,000 untuk gereja.

“Dana ini bagi membolehkan badan-badan keagamaan di Tenom membiayai pelbagai aktiviti keagamaan, menaik taraf dan membaiki kemudahan serta pembangunan agama,” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis berbuka puasa bersama penduduk di sini kelmarin.

Majlis itu dianjurkan oleh Kumpulan Yayasan Sabah dengan kerjasama Badan Dakwah Tenom, Jawatankuasa Surau Kampung Chinta Mata Tenom dan Surau Kampung Angan-Angan Tenom.

Raime berkata daerah kecil Kemabong, yang terletak kira-kira 40 km dari Pekan Tenom, sangat memerlukan sebuah masjid bagi memberi kemudahan kepada umat Islam beribadah di kawasan itu.

“Saya telah menghantar cadangan pembinaan bangunan masjid itu dan sangat berharap keputusan positif daripada kerajaan dapat kita perolehi supaya rumah ibadah yang kita harapkan itu menjadi realiti,” katanya.

Pada majlis itu, Kumpulan Yayasan Sabah menyumbangkan bantuan wang tunai kepada  30 asnaf dan peralatan siaraya dan kipas kepada Surau Kampung Chinta Mata dan Surau Kampung Angan-Angan. — Bernama

Advertisement