Anda di sini

Pemantun, pemukun cilik dari Miri temui Pak Nil

Advertisement
 Dari kiri, Nur Aimah, Nurfan dan Hazwan bergambar di lapangan terbang Miri sebelum bertolak ke KL untuk program Hari Raya Astro.
BAKAT CILIK: Dari kiri, Nur Aimah, Nurfan dan Hazwan bergambar di lapangan terbang Miri sebelum bertolak ke KL untuk program Hari Raya Astro.

MIRI: Adik beradik, Nur Aimah Dhia dan Nurfan Danish Mahmud ditemani sepupu, Mohamad Hazwan Hermanto terbang ke Kuala Lumpur pada Khamis untuk menemui pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Nawawi.

Mereka akan dibawa ke studio satu Astro Bukit Jalil untuk menjayakan program Jalinan Kasih Pak Nil yang akan disiarkan pada Hari Raya pertama di saluran Astro Ceria.

Sesi rakaman yang diadakan semalam (Jumaat) melibatkan persembahan dan sesi temuramah bersama Aznil.

Menemani mereka ke Kuala Lumpur ialah ibu Nur Aimah, NurFobie Abdullah dan nenek, Masni Pindek bertolak menggunakan pesawat AirAsia pada jam 10 pagi.

Ibu saudara, Zulhaidawatie Bujang berkata, surat jemputan  Astro telah diterima pada 20 Mei lalu setelah video adik beradik berpan-tun dan bermu-kun tular dengan jumlah tontonan melebihi sejuta pengguna media sosial.

“Saya berasa berbangga kerana budaya Sarawak diketengahkan dan diwarisi generasi muda. Tidak sia-sia usaha kami selama ini. Anak buah dan anak menjadi waris pemantun dan seh gendang termuda di Miri,” jelasnya.

Zulhaidawatie yang lebih dikenali Dayang Azura berharap seni tradisi itu akan terus dipromosikan dalam usaha untuk menggalak penyertaan dan minat lebih ramai golongan muda.

Program Jalinan Kasih Pak Nil disiarkan bertujuan merealisasikan impian serta hajat anak-anak yang kurang bernasib baik agar Syawal tahun ini disambut dengan lebih bermakna.

Program ini juga berkongsi kisah kanak-kanak viral yang berjaya menarik perhatian dan inspirasi kepada masyarakat.

Video tular Nur Aimah dan Nurfan bermukun dan bertandak pada bulan lalu dipercayai yang pertama untuk pelajar sekolah rendah di sini mencecah tontonan  lebih sejuta pengguna media sosial.

Persembahan pelajar SK Pujut Corner (SKPC) itu mula tular setelah dimuat naik guru di Facebook semasa sesi latihan untuk perhimpunan bulanan dan apresiasi kemenjadian murid dalam kokurikulum.

Nur Aimah, 10 tahun dan adiknya Nurfan, 7 tahun  telah memenangi banyak pertandingan bermukun dan sering  membuat persembahan termasuk di Brunei.

Bersama Mohd Hazwan  Hermanto, 12 tahun dari SK Merbau mereka membentuk kumpulan Cabik Geronong yang telah memenangi kategori B bawah umur 18 tahun sempena Karnival Sarawakiana pada 6 Mei lalu. Hazwan terpilih sebagai pemantun terbaik.

Kelima mereka akan balik ke Miri pada hari ini (10 Jun).

  • oleh
  • Advertisement