Anda di sini

Kejayaan Maybank lepasi RM100 bilion catat sejarah pasaran modal Malaysia: Wahid

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kejayaan terbaharu Maybank sebagai syarikat tersenarai pertama Malaysia mencatat modal pasarannya melepasi paras RM100 bilion kelmarin, turut mendapat pujian bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau yang kini menyandang tugas sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu pelabur terbesar Maybank, berkata ramai yang tidak menyedari bahawa pencapaian Maybank itu merupakan satu sejarah dalam pasaran modal Malaysia.

Tahniah kepada barisan Lembaga Pengarah, pengurusan dan semua tenaga ‘Maybankers!’ Pada paras RM100.5 bilion, Maybank bukan setakat menjadi syarikat paling bernilai tersenarai di Bursa Malaysia malah Maybank Islamic (tiga kali lebih besar daripada Bank Islam) juga merupakan bank Islam kelima terbesar di dunia.

Marilah semua untuk terus menyokong pertumbuhan Maybank ke pencapaian berikutnya iaitu RM200 bilion berdasarkan asas-asasnya. Lebih-lebih lagi, separuh daripada saham Maybank itu milik PNB dan 13 juta rakyat Malaysia yang menjadi pemegang unitnya,” katanya menerusi mesej dalam talian, kelmarin.

Maybank yang juga bank terbesar negara dari segi aset dan syarikat awam terbesar yang tersenarai di Bursa Malaysia, mencatat detik bermakna apabila modal pasarannya melepasi paras RM100 bilion selepas penyenaraian 243.6 juta terbitan saham tambahan susulan Rancangan Pelaburan Semula Dividen syarikat itu.

Menerusi jumlah saham semasa Maybank sebanyak 10.52 bilion saham di bawah pelan berkenaan, ia perlu didagangkan pada paras RM9.50 untuk mencecah paras RM100 bilion.

Walaupun susut sebanyak tiga sen, saham-saham bank berkenaan ditutup pada RM9.55 hari ini, sekali gus menjadikan modal pasarannya mencecah RM100.5 billion. — Bernama

Advertisement