Anda di sini

Empat ‘ulat’ tiket didenda RM5,000

Advertisement

SHAH ALAM: Empat ‘ulat’ tiket masing-masing didenda RM5,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda itu oleh dua Mahkamah Majistret di sini semalam kerana menawarkan perkhidmatan jualan tiket bas ekspres atau bas tambahan secara haram di Terminal Bas Sementara, Seksyen 13 di sini kelmarin.

Warga Kemboja, Yeb Mael, 25, warga Vietnam Zabidah Yaakub, 33, warga Indonesia Widayati, 36, dan warga tempatan Siti Rohza’’ Aiena Kamarozaman masing-masing dikenakan denda itu selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Yeb, Zabidah dan Widayati didakwa tanpa kuasa yang sah telah memujuk bagi maksud menawarkan perkhidmatan yang berkaitan dengan menerima upah di suatu tempat awam, kira-kira jam 1 petang kelmarin di terminal bas berkenaan.

Siti Rohza’’ Aiena pula didakwa bersubahat dengan Widayati untuk melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan hari yang sama.

Keempat-empat mereka didakwa mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh ditahan pasukan penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) yang melaksanakan operasi khas parasit di sekitar terminal bas itu kelmarin, dengan menyamar sebagai pelanggan.

Prosiding ke atas keempat-empat tertuduh dijalankan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin dan Majistret P. Sarulatha.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPAD, Shazryll Aizad Ahmad Khairy dan Siti Safura Ab. Rahman sementara kesemua tertuduh diwakili peguam Muhsin Izhar Hashim. — Bernama

Advertisement