Anda di sini

Ceroboh Lahad Datu: Sembilan warga Filipina ke tali gantung

Advertisement

Didapati bersalah lancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong

 Sembilan warga Filipina dalam kes pencerobohan Lahad Datu di Sabah dijatuhkan hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya. — Gambar Bernama
KEGANASAN: Sembilan warga Filipina dalam kes pencerobohan Lahad Datu di Sabah dijatuhkan hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Sembilan warga Filipina dalam kes pencerobohan Lahad Datu di Sabah, yang didapati bersalah melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, empat tahun lepas, dijatuhi hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, yang mengetuai panel tiga hakim, memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwa raya untuk menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat kepada hukuman mati terhadap mereka.

Pada 25 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat terhadap mereka selepas didapati bersalah atas kesalahan itu pada 2013.

Mereka terdiri daripada anak saudara kepada lelaki yang mendakwa dirinya Sultan Jamalul Kiram III, Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 54; Julham Rashid, 70;  Virgilio Nemar Patulada @ Mohamad Alam Patulada,  53; Salib Akhmad Emali, 64;  Tani Lahad Dahi, 64; Basad H. Manuel, 42;  Ismail Yasin, 77; Atik Hussin Abu Bakar, 46 dan Al Wazir Osman, 62.

Mohd Zawawi, yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim, berkata hukuman muktamad adalah kematian kerana wujud elemen-elemen praperancangan dan rancangan pencerobohan itu dilaksanakan secara teliti.

Beliau berkata serangan oleh musuh-musuh asing tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini dan ia adalah kejam dari segi nyawa, harta benda dan kesan trauma.

Dalam insiden percerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 12 Feb dan 10 April, 2013, sembilan anggota pasukan keselamatan Malaysia terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan itu.

Justeru, kuorom berkenaan mengekalkan sabitan yang dikenakan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan dan menolak rayuan yang difailkan oleh sembilan lelaki itu.

Mohd Zawawi berkata kes itu mempunyai unsur konspirasi dengan serangan dilakukan bersifat ganas dan kejam.

Laluan dari Filipina ke Sabah, tapak pendaratan di Kampung Tanduo serta sasaran berbeza di Sabah semuanya telah ditetapkan,” sambil menyatakan kes seumpama ini tidak pernah dibawa ke mahkamah dalam sejarah negara ini.

Dalam penghakiman, katanya, pencerobohan itu telah memberi kejutan kepada rakyat Malaysia di mana anggota pasukan keselamatan terbunuh dan ramai yang cedera parah.

Penduduk kampung dipaksa meninggalkan rumah mereka dan senjata api seperti senapang M-16, pistol 9mm dan bom tangan digunakan.

Terdapat rundingan antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan bersenjata itu di Kampung Tanduo tetapi ia gagal. Penceroboh memilih untuk tidak meninggalkan Sabah tetapi memilih pertumpahan darah dan peperangan,” katanya.

Beliau berkata hukuman dikenakan mesti mencerminkan kebencian dan kecaman masyarakat Malaysia terhadap jenayah itu.

Katanya, hakim Mahkamah Tinggi gagal dalam pertimbangan semasa menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat dan bukan hukuman mati dengan tidak mengambil kira pencerobohan itu terhadap kedaulatan negara.

Pada prosiding semalam, Mohd Zawawi juga menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan 14 individu yang didakwa atas tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan kesalahan berkaitan keganasan.

Beliau berkata kes pendakwaan terhadap mereka adalah semata-mata berdasarkan keterangan mengikut keadaan dan keterangan itu tidak menunjukkan kesungguhan kepada fakta bahawa mereka terbabit dengan kesalahan yang mereka didakwa.

Mereka ialah Masir Aidin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhmad, Abdul Hadi Mawan (rakyat Malaysia), Rijmal Salleh, Abdul Majil Jubin, Rizman Gulan, Basil Samiul, Totoh Hismullah, Saidili Jaharul, Kadir Uyung, Lating Tiong, Dani Ismail dan Salib Akhmad Emali.

Mohd Zawawi, bagaimanapun, membenarkan permohonan Timbalan Ketua Unit Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara,  Awang Armadajaya Awang Mahmud untuk 14 individu itu ditahan reman sementara menunggu notis rayuan terhadap keputusan pembebasan itu difailkan di Mahkamah Persekutuan. — Bernama

Advertisement