Anda di sini

Cadangan penggabungan RHB dan AMMB beri lebih manfaat kepada Ambank: Moody’s

Advertisement

KUALA LUMPUR: Cadangan penggabungan RHB Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd dijangka memberi manfaat yang lebih besar kepada kumpulan AmBank berbanding RHB, demikian menurut Unjuran Kredit Moody’’s.

Dalam nota penyelidikannya semalam, agensi penarafan itu berkata penggabungan yang dicadangkan itu merupakan kredit positif bagi AmBank (M) Bhd (Baa1 / Baa1 stabil, Baa3), bank operasi utama Kumpulan AmBank, berdasarkan pengagihan, sumber pembiayaan dan kepentingan sistemik yang akan meraih manfaat apabila menjadi sebahagian daripada kumpulan perbankan Malaysia yang lebih besar.

Atas dasar kredit yang berdiri sendiri, profil pembiayaan AmBank lebih lemah berbanding RHB.

AmBank mempunyai bahagian pasaran deposit domestik yang ketara lebih kecil serta peratusan lebih rendah dari segi deposit akaun semasa dan akaun deposit dalam gabungan depositnya berbanding RHB.

Kami menjangkakan profil pembiayaan entiti yang digabungkan akan lebih dekat dengan RHB, dan meraih manfaat daripada skala yang lebih besar menerusi penggabungan itu selain menambah rangkaian pelanggan,” katanya.

Moody’’s berkata potensi manfaat kepada RHB tidak ketara disebabkan oleh cabaran operasi dalam merasionalisasikan struktur organisasi dan infrastruktur entiti yang baharu digabungkan.

Penyepaduan RHB bagi OSK Investment Bank Group (tidak diberikan penarafan) dan penggabungan lain yang melibatkan bank-bank Malaysia menunjukkan cabaran besar, dengan hasil dan kos sinergi hanya boleh direalisasikan bertahun-tahun selepas penyepaduan.

Dalam kes ini, faedah pendapatan mungkin hanya menjadi kenyataan selepas entiti yang digabungkan itu menanggung perbelanjaan penyusunan semula yang besar,” katanya.

Walaupun sebagai kumpulan keempat terbesat Malaysia berdasarkan aset, dengan jumlah aset disatukan sebanyak RM368 bilion berdasarkan kewangan Mac 2017, Moody’’s berkata ia tidak menjangkakan entiti yang digabungkan itu berada pada kedudukan strategik yang lebih kukuh berbanding tiga kumpulan perbankan Malaysia iaitu Maybank, CIMB Bank dan Public Bank.

Bagaimanapun, ia berkata penggabungan itu masih meningkatkan skala operasi RHB di Malaysia dan memberikan akses kepada pelanggan dan produk segmen dengan Kumpulan AmBank yang mempunyai hubungan yang lebih padu, seperti segmen pembiayaan auto yang memberi pulangan yang lebih tinggi, perbankan pelaburan dan insurans am.

Gabungan jumlah aset kedua-dua Kumpulan AmBank dan RHB akan meningkatkan aset RHB sebanyak 1.6 kali dan aset Kumpulan AmBank sebanyak 2.7 kali, berdasarkan angka pada 31 Mac 2017.

Entiti yang digabungkan itu akan mengukuhkan kedudukannya memandangkan ia mempunyai antara rangkaian cawangan terbesar di Malaysia, menghampiri Maybank, yang masih merupakan kumpulan perbankan terbesar di negara ini dari segi aset perbankan, pinjaman dan deposit,” katanya. — Bernama

Advertisement