Anda di sini

Banyak syarikat multinasional pindah ke M’sia dari Singapura

Advertisement

Pilih lokasi dengan kos lebih rendah susulan ringgit susut

KUALA LUMPUR: Banyak syarikat multinasional, terutamanya dalam sektor minyak dan gas, memindahkan operasi mereka ke sini dari Singapura disebabkan kos yang lebih rendah susulan penyusutan ringgit.

 “Dalam tempoh dua hingga tiga tahun lepas, kami menyaksikan banyak syarikat multinasional yang mempunyai operasi serantau atau penting di Singapura, menempatkan sebahagian daripada jabatan atau ekspatriat mereka ke Kuala Lumpur,” kata Pengarah Serantau ECA International Asia, Lee Quane.

 “Antara 10 hingga 20 syarikat multinasional dalam sektor minyak dan gas memindahkan sebilangan besar kakitangan ekspatriat dari Singapura ke Malaysia disebabkan faedah seperti rumah yang lebih murah di sini susulan nilai ringgit yang rendah,” katanya kepada Bernama.

 Quane juga berkata kaji selidik mengenai Kos Sara Hidup ECA yang terkini mendapati Singapura menjadi lokasi ke-24 paling mahal di dunia bagi ekspatriat, meningkat daripada kedudukan ke-18 pada tahun lepas.

 Ini disebabkan dolar Singapura susut berbanding kebanyakan mata wang dalam tempoh 12 bulan lepas, katanya.

 Quane berkata jurang antara kos sara hidup di Singapura dan Kuala Lumpur meningkat, dengan ibu negara Malaysia merosot 15 tempat kepada bandar ke-212 paling mahal.

 Georgetown dan Johor Bahru, masing-masing turun kepada kedudukan ke-245 dan ke-250, katanya.

 Johor Bahru juga mempunyai kos sara hidup kedua terendah di rantau ini.

 — Bernama

Advertisement