Anda di sini

Tiga bebas subahat

Advertisement

Hanya Mohamad Fitri diperintah bela diri; suasana tegang seketika di pekarangan Kompleks Mahkamah Miri.

 Datuk Stephen Lee (dua kanan, berkot hitam), Lie (tiga kanan, menutup muka), Chin (empat kanan, di belakang) dan Mohamad Fitri (dua kiri) ketika dieskot masuk ke mahkamah.
KE MAHKAMAH: Datuk Stephen Lee (dua kanan, berkot hitam), Lie (tiga kanan, menutup muka), Chin (empat kanan, di belakang) dan Mohamad Fitri (dua kiri) ketika dieskot masuk ke mahkamah.

MIRI: Suasana tegang seketika di pekarangan Kompleks Mahkamah Miri semalam selepas Mahkamah Tinggi Miri membebaskan tiga tertuduh yang dituduh bersubahat dalam kes pembunuhan Bill Kayong.

Keadaan bagaimanapun kembali terkawal selepas saudara-mara dan rakan-rakan Kayong yang berkumpul di situ bersurai setengah jam kemudian.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Miri telah melepas dan membebaskan Lie Chang Loon, 38 (tertuduh kedua), Chin Wui Chung, 51 (tertuduh ketiga) dan (Datuk Stephen) Lee Chee Kiang, 45 (tertuduh keempat) daripada tuduhan bersubahat dalam pembunuhan Kayong setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi Ravinthran N. Paramaguru ketika mengumumkan keputusan mahkamah semasa bersidang jam 11.30 pagi semalam selepas ditangguh dari jam 9.30 pagi memberitahu, mahkamah tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mengaitkan ketiga-tiga tertuduh terbabit dengan kes pembunuhan tersebut.

Sebaliknya, bukti-bukti yang ada lebih menjurus kepada isu pertelingkahan tanah berbanding pembunuhan Kayong. 

Pihak pendakwaan bagaimanapun telah membuktikan kes prima facie terhadap Mohamad Fitri Pauzi yang juga tertuduh pertama dan memanggil beliau untuk membela diri.

Ravinthran kemudian menetapkan 14, 15 dan 16 Jun ini, jam 10.30 pagi untuk tertuduh pertama membela diri.

Dalam kes itu, Mohamad Fitri, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.20 pagi, 21 Jun 2016 di persimpangan lampu isyarat berdekatan pasar raya Emart (Tudan), Jalan Miri-Bintulu.

Manakala tiga yang lain iaitu Lie Chang Loon, dari Taman Pin Fook; Chin Wui Chung, dari Lorong 5, Krokop dan (Datuk Stephen) Lee Chee Kiang dari Jalan Woodhouse, Tanjung Lobang di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh telah bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri untuk membunuh Kayong.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka pada masa dan di tempat yang sama.

Seramai 28 orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang bermula sejak 7 Mac lalu.

Sementara itu, tertuduh pertama diwakili oleh peguam bela, Ranbir Singh; tertuduh kedua diwakili Arthur Lee; tertuduh ketiga diwakili David Kuok dan tertuduh keempat diwakili oleh Orlando Chua.

Selain Datuk Stephen Lee yang mengenakan kot hitam, tiga yang lain berbaju kemeja kelihatan duduk tenang di dalam kandang tertuduh sepanjang keputusan dibacakan oleh Ravinthran.

Manakala, mahkamah turut dipenuh oleh ahli keluarga Kayong serta rakan-rakan dan penyokong termasuk mereka yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang majoritinya berbaju-T berwarna hitam.

 Ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan yang berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Miri dalam keadaan terkawal meskipun ada suara-suara yang tidak berpuas hati.
TERKAWAL: Ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan yang berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Miri dalam keadaan terkawal meskipun ada suara-suara yang tidak berpuas hati.
  • oleh
  • Advertisement