Anda di sini

Tergugat, Ghani beri kata dua kepada Taliban

Advertisement
 Ghani (tengah) berucap semasa menghadiri persidangan keamanan antarabangsa di Istana Presiden di Kabul, semalam. — Gambar AFP
PERLU LEBIH TEGAS: Ghani (tengah) berucap semasa menghadiri persidangan keamanan antarabangsa di Istana Presiden di Kabul, semalam. — Gambar AFP

KABUL: Presiden Afghanistan Ashraf Ghani semalam memberi kata dua kepada Taliban, menggesa mereka berdamai atau berdepan akibat selepas meng-umumkan angka kematian serangan trak bom minggu lepas telah melepasi 150.

Ghani berdepan kritikan memuncak gara-gara kekacauan yang berleluasa, dengan gelombang protes dan pertelingkahan di jalanan menjejaskan ibu negara Afghanistan tatkala penduduk yang berang dengan keganasan menyeru peletakan jawatan kerajaannya.

Presiden membuat rayuan tegas itu pada persidangan keamanan antarabangsa mengenai Afghanistan yang turut dihadiri wakil 24 negara.

Kenderaan berperisai meronda jalanan sebagai langkah kawalan diperketat manakala jet pejuang bersimpang siur di ruang angkasa Kabul.

Kami menawarkan peluang perdamaian tetapi ini bukanlah satu tawaran tanpa had.

Masa semakin suntuk, inilah peluang terakhir, berdamai atau hadapi akibatnya,” tambah Ghani.

Persidangan tersebut yang dilabel ‘Proses Kabul’, menyasari peningkatan sokongan antarabangsa bagi keamanan.

Setakat ini belum ada reaksi segera daripada Taliban mengenai komen Ghani.

Kabul dalam keadaan tegang sejak serangan trak bom seminggu lalu menyasari kawasan diplomatik yang menempatkan istana presiden dan sejumlah kedutaan asing.

Angka kematian sudah melebihi 150, manakala lebih 300 mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital, kebanyakannya melecur dan putus anggota badan, kata Ghani pada persidangan tersebut.

Empat lagi maut pada Jumaat apabila ratusan penunjuk perasaan yang berang dengan pengeboman itu bertelingkah dengan polis, memaksa pegawai memaksa mereka bersurai dengan melepaskan tembakan dengan peluru hidup ke udara, gas pemedih mata dan meriam air.

Penunjuk perasaan yang mogok buat hari kelima berturut-turut semalam berhampiran tempat kejadian, menyeru peletakan jawatan ketua keselamatan termasuk penasihat keselamatan negara Hanif Atmar.

Menteri Luar Salahuddin Rabbani turut menyeru pengunduran Atmar kelmarin, tetapi Ghani menolak keras tuntutan tersebut.

Rabbani terselamat apabila pengebom nekad menyerang majlis pengebumian salah seorang penunjuk perasaan pada Sabtu lalu dan menyebabkan tujuh lagi maut.

Beliau menyalahkan teroris dalam sistem atas kejadian itu, sekali gus mencadangkan serangan dilakukan orang dalam.

Kerajaan pula menuduh Rangkaian Haqqani yang bersekutu dengan Taliban sebagai dalang serangan Rabu lalu, manakala majlis pengebumian itu disasari pengebom yang berlatih di sebuah madrasah radikal di Pakistan. — AFP

Advertisement