Anda di sini

Rengga si ayam tambatan Bantin

Advertisement
 Dr Rayong bersama peserta ekspedisi yang menawan puncak Bukit Keruin bergambar bersama sebelum meninggalkan kubur wirawan Bantin.
ALBUM: Dr Rayong bersama peserta ekspedisi yang menawan puncak Bukit Keruin bergambar bersama sebelum meninggalkan kubur wirawan Bantin.

TIDAK lengkap sekiranya kita tidak menyingkap seorang lagi wira kaum Iban ketika era pemerintahan Brooke di Sarawak dan Belanda di Indonesia.

Individu yang dimaksudkan itu ialah Rengga - anak kepada Bantin juga dikenali ‘Ijau Lelayang’ yang dikatakan sangat gagah, pintar, berhati keras dan tidak lut dengan senjata tajam. Beliau sangat disayangi ayahnya, Bantin atas sifat-sifat yang banyak mewarisi darah kepahlawanan beliau.

Tidak banyak catatan berkenaan perjuangan Rengga namun yang paling menonjol ialah ketika bersama Jagak dan Imba membantu perjuangan suku Memaloh yang mahu dikayau suku Laut atau Melayu ketika itu di Bukit Kota (penulis pernah keluar cerita ini pada siri lepas) dan berkat kepintaran Rengga akhirnya musuh tewas termasuk ‘tuai Kayau’ yang didakwa tidak lut dek senjata dan bertubuh besar.

Namun umur Rengga tidak panjang kerana beliau meninggal dunia bukan disebabkan luka senjata sebaliknya diracun menggunakan racun dikenali ‘racun emas’ ketika dalam tahanan penjara di Sintang, Kalimantan Barat.

Menurut cerita Jawa Uju, 70-an, yang merupakan generasi ketiga kepada Rengga, datuknya itu meninggal dunia pada tahun 1934 kerana diracun oleh pegawai penjara di Sintang.

Datuk saya Rengga telah diracun yang disimpan pada makanan beliau oleh ketua penjara ketika itu. Pada zaman tersebut, gabenor Sintang ketika itu daripada etnik Kayan dikenali Uvang Urai.

Menurut cerita, Rengga dipenjara atas arahan kerajaan Belanda kerana didakwa mengingkari arahan untuk membersihkan bawah rumahnya.

Ini kerana rumah kaum Iban suatu ketika dahulu bertiang tinggi dan di bawahnya pula dipenuhi pelbagai sampah yang dibuang ke bawah rumah selain haiwan ternakan bebas berkeliaran.

Sementara kerajaan Belanda pula dikatakan sangat menitikberatkan aspek kebersihan di persekitaran kediaman justeru mengarahkan Rengga membersihkan bawah rumahnya namun diingkari memaksa pemerintah Belanda mengarahkan beliau ditangkap dan dibawa ke penjara di Sintang, Kapuas Hulu, Kalimantan.

Namun saudara terdekat ketika itu yakin Rengga dipenjarakan kerana sebab lain iaitu mungkin disebabkan faktor ayahnya Bantin yang ibarat duri dalam daging kepada pemerintah Brooke dan Belanda ketika itu,” kata Jawa.

Beliau yang masih kecil ketika itu menambah, tidak lama kemudian ahli keluarga dimaklumkan Rengga meninggal dunia dipercayai diracun pada makanannya dan dikuburkan di penjara itu.

Ketika itu, kawalan penjara sangat lemah dan sesiapa boleh keluar masuk tanpa kawalan...justeru kita tidak pasti siapa yang meracun beliau memandangkan datuk saya itu mempunyai ramai musuh terutama daripada pihak bapanya Bantin,” katanya.

Atas kesepakatan, ahli keluarga ketika itu bersetuju memindahkan kubur beliau dari penjara ke lokasi yang lebih dekat dan bersetuju membawa tulang-temulangnya ke kampung halaman iaitu Nanga Tebuluh, Keruin.

 Sebuah gereja menggamit tumpuan sebaik kaki memijak Badau.
TERSERGAM INDAH: Sebuah gereja menggamit tumpuan sebaik kaki memijak Badau.

Tidak lama di situ, sekali lagi kubur mendiang dipindahkan ke puncak Bukit Keruin yang ada ketika ini dan upacara pemindahan tulang-temulang beliau dijalankan dengan penuh adat-istiadat Iban yang mana keranda mengandungi tulangnya turut dihiasi dengan kepingan perak,” katanya.

Tambahnya, insiden pembunuhan Rengga oleh suku Kayan ketika itu membuatkan Bantin sangat marah dan berdendam terhadap kaum itu.

Beliau bersama orang-orangnya nekad untuk membalas dendam dan mahu menghapuskan kaum tersebut kerana bertanggungjawab atas kematian anak lelakinya itu,” katanya.

Namun demikian tambah Jawa, Bantin membatalkan niatnya itu selepas kerajaan Belanda melarangnya berbuat demikian kerana adat ‘Ngayau’ sangat ditegah ketika itu.

Sebagai ganti rugi, Bantin menerima bayaran berupa 30 keping wang perak daripada suku Kayan sebagai tanda permohonan maaf atas insiden tersebut,” ujarnya.

 Penulis (depan, tiga kanan)   dan peserta ekspedisi bergambar di hadapan  tugu pahlawan terbilang, Temenggung Simpi Berdana.
UNTUK KENANGAN: Penulis (depan, tiga kanan) dan peserta ekspedisi bergambar di hadapan tugu pahlawan terbilang, Temenggung Simpi Berdana.
  • oleh
  • Advertisement