Anda di sini

PKS Bumiputera digesa khususkan perniagaan

Advertisement

Mereka akan dikenali dan kekal meraih keuntungan

KUALA LUMPUR: Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) menasihatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan agar mengkhususkan perniagaan mereka untuk kekal meraih keuntungan.

Presidennya, Moehamad Izat Emir berkata apabila PKS pakar dalam industri masing-masing mereka akan diikenali oleh pelanggan dan pesaing.

Sebagai contoh, jika anda berada dalam perniagaan tekstil, fokus kepada industri dan tawarkan produk dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan sudah semestinya pada harga berpatutan...dengan berbuat demikian, anda sudah pastinya akan menjadi antara jenama yang akan diingati pelanggan,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata francais merupakan satu penyelesaian bagi syarikat tempatan, terutamanya syarikat Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Tetapi untuk tujuan ini, Moehamad Izat berkata mereka akan memerlukan sumber kewangan yang kukuh.

Bagi menanganinya, beliau menasihatkan PKS agar peka dengan inisiatif dan program yang dianjurkan oleh kerajaan dan agensinya termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Perbadangan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan SME Corporation.

Oleh kerana Malaysia telah memasuki platform ekonomi digital, lebih banyak PKS boleh menggunakan ini sebagai satu lagi saluran untuk mengembangkan perniagaan mereka bukan hanya di dalam negara tetapi juga di peringkat dunia.

Bagaimanapun, mereka harus sedar tidak semua jenis perniagaan boleh dipromosikan menenerusi platform ini dan tidak semua orang celik Internet dan memiliki akses Internet yang sama,” katanya.

Moehamad Izat berkata di PERDASAMA, hampir semua ahli mengoperasikan perniagaan mereka menerusi kedua-dua platform, luar talian dan dalam talian.

Sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia yang berjumlah kira-kira 17 peratus ketika ini dijangka mengatasi unjuran sasaran 20 peratus lebih awal dari 2020.

Sasaran itu boleh dicapai kerana Malaysia telah pun mula terlibat dengan arena ekonomi digital dengan pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pada 22 Mac dan Hab Digital Malaysia.

Ketika ini, PERDASAMA mengadakan mesyuarat lembaga, antara lainnya, untuk membincangkan cara menambah baik peluang perniagaan bagi usahawan Bumiputera.

Ahli Lembaga, Tan Sri Megat Najmuddin, berkata malahan di peringkat universiti, pelajar perlu diajar kemahiran keusahawanan.

Perniagaan dalam talian semakin popular sekarang dan pelajar melayu perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan teknologi maklumat (IT) untuk menjadi celik IT dan seorang usahawan berjaya satu hari nanti,” katanya. — Bernama

Advertisement