Anda di sini

Musa puji LKTNS sehingga berada pada kedudukan terbaik

Advertisement
 Abdul Rahim (dua kanan) menyampaikan bantuan kepada Pertubuhan Taman Cahaya sambil diperhatikan Musa (tiga kanan) dan Jazuli (kanan).
CEKAP: Abdul Rahim (dua kanan) menyampaikan bantuan kepada Pertubuhan Taman Cahaya sambil diperhatikan Musa (tiga kanan) dan Jazuli (kanan).

SANDAKAN: Pengurusan kepimpinan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) yang baik dan cekap telah membawa keuntungan kepada para peneroka dan kerajaan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman memuji pencapaian LKTNS di bawah kepimpinan Pengerusi Datuk Seri Panglima Rahim Ismail dan Pengurus Besar Haji Jazuli W Sunarto yang telah membawa LKTNS dalam keadaan yang baik.

Apabila beliau (Abdul Rahim) mengambil alih jawatan pengerusi dan Haji Jazuli sebagai pengurus besar, Ahli Lembaga Pengarah LKTNS telah mengambil inisiatif berjumpa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sehingga mereka dapat peruntukan khusus untuk membayar gaji secara bulanan kepada para peneroka di Sabah sementara menunggu buah dijual atau pokok berbuah.

Usaha ini harus dipuji kerana menteri bertanggungjawab sebelum ini tidak pernah membantu peneroka untuk mendapatkan bayaran daripada kerajaan Pusat selain cadangan pelupusan hutang-hutang. Tetapi hasil rundingan Menterinya kini, Datuk Seri Ismail Sabri bersama Haji Abdul Rahim dan Haji Jazuli, telah memberi situasi menang-menang kepada LKTNS dan juga peneroka.

Inilah cara kita sebagai kerajaan negeri dan Barisan Nasional yang sentiasa bekerja untuk membantu mereka yang memerlukan. Lagi-lagi dalam bulan Ramadan yang menuntut kita untuk melipatgandakan usaha khususnya dalam membuat amal kebajikan,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama LKTNS di Masjid Raya Seri Aman, Rancangan Sungai Manila pada Ahad.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata beliau bersama Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan dan warga LKTNS giat berusaha untuk mentransformasikan LKTNS agar semua agenda pembangunan luar bandar berada pada landasan yang benar.

Katanya, mereka berusaha membawa suara peneroka, peserta dan benefesiari yang berada di bawah jagaan LKTNS kepada menteri-menteri Kerajaan Negeri mahupun di peringkat Persekutuan.

Jelasnya ia adalah tugas fardhu kifayah mereka yang mana kepentingan peneroka, peserta dan benefesiari adalah menjadi subjek utama yang perlu diketengahkan.

Sejak pelancaran tanam semula sawit peneroka LKTNS pada 2015 dilancarkan oleh Datuk Seri Musa, LKTNS sedang dan telah melaksanakan kerja penanaman semula sawit di kawasan pantai timur meliputi Sandakan, Lahad Datu, Kunak dan Tawau dengan kos sejumlah RM22.6 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Bagi kawasan Sungai Manila sahaja, sejumlah RM5.17 juta telah dibelanjakan. Kita sedar bahawa pendapatan (dividen) peneroka di kawasan pantai timur menyusut dan ini adalah kesan daripada pokok sawit yang tidak produktif lagi seterusnya menyebabkan hasil sawit menurun.

Inilah usaha kita dan bukti ketelusan Kerajaan Persekutuan dan Negeri melalui agensinya dalam melaksanakan program tanam semula ini dengan tujuan membantu peneroka untuk meningkatkan kualiti dan taraf hidup,” katanya.

Abdul Rahim berkata walaupun berdepan situasi ekonomi yang mencabar, dengan adanya peningkatan kecekapan dalam pengurusan terbaharu, pihak lembaga masih berupaya untuk membayar dividen kepada para peneroka dan peserta sebanyak RM167.4 juta. Jumlah itu mengikut rekod sejak 2002 sehingga 2016.

Sehubungan dengan itu, kami dalam Lembaga Pengarah LKTNS telah sebulat suara bersetuju agar membawa agenda pelupusan hutang-hutang peneroka dan peserta yang terdahulu dibawa dan dibincangkan ke peringkat Kabinet.

Kita akan berusaha menyakinkan Jemaah Menteri Sabah tentang permasalahan yang kita hadapi dan dengan izin Allah SWT, kita akan memastikan agar LKTNS berupaya membayar dividen kepada peneroka dan peserta untuk masa hadapan,” jelasnya.

Pada majlis itu, Musa telah menyampaikan bantuan Ramadan kepada seramai 1,400 penerima dari sekitar kawasan Rancangan Sungai Manila.

Advertisement