Anda di sini

Merokok di kawasan larangan, tiga termasuk seorang peguam didenda

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki termasuk seorang peguam didenda antara RM750 dan RM900 oleh Mahkamah Majistret semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merokok di kawasan larangan, Kompleks Mahkamah di sini pada April lepas.

Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, 31, seorang peguam membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Radziah Kamaruddin dan didenda RM750.

Ridzuan Mohd Fauzi, 39, dan  warga Filipina R.Guevara Cortez, 35, pula membuat pengakuan sama di hadapan Majistret Zuhair Rosli dan masing-masing didenda RM750 dan RM900 selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mereka didakwa merokok di Sayap Kiri Aras 1, Kompleks Mahkamah Jalan Duta yang merupakan kawasan larangan merokok mengikut Peraturan 11(1)(h), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 10.35 pagi dan 10.45 pagi, 6 April lepas.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 11(3), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dua Pegawai Pendakwa daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kepong, Wilayah Persekutuan Nurhuda Mohd Ramli dan Amirul Hisham Mohd Eisa memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap ketiga-tiga lelaki itu sebagai pengajaran kerana merokok di kawasan larangan.

Mereka tidak diwakili peguam. — Bernama

Advertisement