Anda di sini

KPDNKK digesa pantau harga barangan kawalan menjelang sambutan Aidilfitri

Advertisement

KOTA KINABALU: Ke-menterian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta meneliti serta memantau harga siling barangan kawalan bagi memastikan tiada peniaga yang sesuka hati menaikkan harga menjelang musim perayaan yang bakal tiba.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata ia berikutan masih ada segelintir peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan sebelum musim perayaan ini.

Kita mahu KPDNKK kaji harga siling barang kawalan yang sudah ditetapkan sebelum dan semasa perayaan kerana ada lagi harga barangan kawalan dinaikkan oleh peniaga yang mahu mengaut keuntungan lebih.

Jadi, kita mahu kementerian bersama KPDNKK dan agensi penggunaan yang lain bersama-sama bantu rakyat mendapatkan hak mereka selaku pengguna supaya harga yang dikenakan adalah berpatutan,” katanya pada Majlis Penyerahan Zakat kepada penduduk sekitar Kampung Darau dan Gudon Manggatal, di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, seramai 107 golongan asnaf menerima zakat daripada Pusat Zakat Sabah bagi membantu meringankan beban bagi persiapan menyambut Syawal.

Jainab juga menasihatkan rakyat supaya menjadi pengguna bijak dan berhemat dalam berbelanja.

Katanya, pengguna haruslah sentiasa mengamalkan 3M iaitu memilih, memboikot dan melapor untuk mengelakkan tertipu oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Masih ada pengguna yang tidak tahu mengamalkan 3M ini dan kita bersama agensi terlibat sentiasa mewar-warkan kempen ini yang menjadi hak mereka selaku pengguna agar tidak lalai dalam memilih barang pada harga berpatutan.

Kalau ada peniaga atau restoran yang menaikkan harga sesuka hati, segera boikot dan laporkan kepada pihak berwajib supaya kita dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang mahu mengaut keuntungan menjelang perayaan ini,” katanya.

Terdahulu, Jainab berkata majlis penyerahan zakat yang diadakan setiap tahun itu menunjukkan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap rakyat kurang berkemampuan dengan mempraktikkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan(NBOS) bersama agensi terlibat.

Advertisement