Anda di sini

Kes tikam: Suspek seperti ada niat hendak bunuh bekas teman wanita

Advertisement

ALOR SETAR: ‘’Tindakan dia yang menikam anak saudara saya beberapa kali menggunakan senjata tajam dilihat seperti mempunyai niat hendak membunuh,” kata Mohd Zahri Osman.

Mohd Zahri, 43, merupakan bapa saudara kepada seorang wanita muda yang cedera ditikam oleh bekas teman lelakinya dengan senjata tajam di tepi jalan berhampiran Taman Serindit, Jalan Datuk Kumbar di sini, kelmarin.

Beliau berkata kejadian berlaku pada jam 5.30 petang ketika anak saudaranya yang berusia 23 tahun baharu memasuki kereta selepas membeli barang di sebuah kedai berhampiran tempat kejadian sebelum didatangi suspek.

Sebelum kejadian, anak saudara saya telah pergi ke Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) untuk mengambil sijil bersama seorang rakannya dan selepas selesai, dia telah menghantar rakannya ke rumah dan ketika itu dia menyedari suspek telah mengekorinya.

Dia telah berhenti untuk membeli barang di kedai berdekatan. Apabila dia masuk ke dalam kereta, suspek telah membuka pintu kereta dan terus menikam bahagian perut anak saudara saya dan tiada pertengkaran berlaku seperti yang diviralkan di media sosial,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.

Mohd Zahri berkata anak saudaranya terpaksa bergelut dengan suspek selepas ditikam hingga menyebabkan lutut dan kedua-dua jari tangannya turut terkena tikaman.

Selepas ditikam, dia menjerit meminta bantuan tetapi orang ramai yang berada di situ tidak berani membantu kerana suspek memegang senjata.

Kalau tikam sekali mungkin seperti tiada niat tetapi kalau sudah tikam sehingga tujuh kali, suspek memang mempunyai niat hendak membunuh anak saudara saya. Suspek berbuat demikian mungkin kerana cemburu atau tidak boleh menerima kenyataan selepas putus cinta dua bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata keadaan anak saudaranya stabil selepas menjalani pembedahan namun masih berada dalam keadaan trauma dan bimbang suspek akan datang ke hospital.

Berikutan itu, Mohd Zahri berharap pihak polis dapat menahan suspek dengan segera dan meminta orang awam supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terjumpa suspek sebaliknya menyerahkannya kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar  ACP Mohd Rozi Jidin berkata polis masih memburu suspek yang dipercayai masih berada di sekitar Alor Setar. — Bernama

Advertisement