Anda di sini

HTM gagal cabar keputusan pendaftaran

Advertisement

Mahkamah dapati Menteri Dalam Negeri bertindak munasabah menolak pendaftaran

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) gagal dalam permohonan kebenaran semakan kehakimannya bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri berhubung pendaftaran pertubuhan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas menolak permohonan yang difailkan HTM pada 9 Ogos 2016 dengan menamakan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.

Dalam penghakimannya, hakim berkata keputusan oleh Menteri Dalam Negeri yang menolak rayuan pendaftaran pertubuhan itu adalah munasabah dan sah di sisi undang-undang kerana Jawatankuasa Fatwa Selangor telah mewartakan bahawa ajaran dan fahaman Hizbut Tahrir adalah haram.

Mahkamah juga menolak pertikaian HTM bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri itu adalah tidak sah dan terbatal di bawah Perkara 10 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, bagaimanapun di bawah Perkara 10, Parlimen boleh membuat undang-undang bagi menyekat pertubuhan itu.

Mahkamah juga mengarahkan HTM membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Kementerian Dalam Negeri.

Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob mewakili Menteri Dalam Negeri manakala Dennis Pereira bertindak bagi pihak presiden pertubuhan itu.

HTM dalam permohonannya memohon deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri yang menolak rayuan pendaftaran pertubuhan itu merupakan satu keputusan yang ultra vires dan melanggar Perkara 10 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa keputusan yang dibuat oleh Menteri itu pada 31 Mei 2016 adalah tidak munasabah kerana gagal memberi pertimbangan wajar terhadap rayuan pendaftaran bagi organisasi pertubuhan berkenaan selain menuntut deklarasi bahawa keputusan itu adalah tidak sah serta tidak mematuhi prosedur.

Selain itu, mereka turut memohon perintah supaya keputusan Menteri itu yang menolak rayuan pendaftaran pertubuhan itu di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 dibatalkan dengan serta-merta.

Sementara itu, Abdul Hakim ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya telah menghantar tiga permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk mendaftarkan pertubuhan itu tetapi permohonan berkenaan ditolak pada 24 Julai 2015.

Mereka kemudiannya mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung keputusan JPPM yang menolak pendaftaran pertubuhan itu namun beliau mendakwa rayuan berkenaan ditolak pada 31 Mei 2016. — Bernama

Advertisement