Anda di sini

Elak boros berbelanja sambut Aidilfitri

Advertisement
 Sapawi dan Ahmad menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid dan surau bagi DUN Sindumin.
ELAK BOROS: Sapawi dan Ahmad menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid dan surau bagi DUN Sindumin.

BEAUFORT: Umat Islam dinasihat agar mengamalkan sikap sederhana dan mengelak daripada boros berbelanja.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata, kehadiran Ramadan sewajarnya dijadikan landasan oleh umat Islam dalam memperaktikkan kehidupan sederhana dan bersikap jimat cermat.

Kadangkala umat Islam lupa untuk berjimat cermat khususnya dalam berbelanja bagi juadah berbuka dan sewaktu membuat persiapan menyambut Aidilfitri...sikap boros memberikan kesan negatif kepada umat Islam sendiri,” katanya di sini kelmarin.

Berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau bagi DUN Sindumin, Parlimen Sipitang di pejabat KEMAS di sini kelmarin, beliau memberitahu kesejahteraan dan kehidupan yang selesa akan dapat dinikmati oleh umat Islam yang mengamalkan sikap sederhana dan berjimat cermat.

Hadir sama pada majlis itu ialah ADUN Sindumin Datuk Ahmad Bujang, Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sindumin Abdul Rahman Mohd Noh, Ketua Puteri UMNO Sipitang Suzie Hamat dan Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musah.

Sapawi menegaskan sikap seumpama itulah juga yang dituntut dalam agama Islam itu sendiri.

Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi juga mengajak umat Islam mengamalkan sikap berjimat cermat dan menjalani kehidupan yang sederhana,” katanya dan menambah, Ramadan juga wajar dijadikan sebagai asas oleh umat Islam untuk memperkukuhkan persefahaman dan perpaduan yang sedia.

Menurutnya, dengan cabaran getir yang harus dihadapi, umat Islam harus bersatu untuk membentuk kekuatan dan keutuhan.

Umat Islam harus sedar bahawa musuh-musuh Islam sentiasa berusaha untuk menghancurkan Islam dengan pelbagai cara.

Cara itu termasuklah cuba mempengaruhi umat Islam untuk mengamalkan sikap boros dan turut berusaha mempengaruhi umat Islam untuk tidak menjalani kehidupan sederhana,” katanya.

Pada majlis itu, Sapawi dan Ahmad turut menyampaikan sumbangan sempena bulan Ramadan kepada 12 masjid dan 22 surau bagi DUN Sindumin.

Advertisement