Anda di sini

Dua mengaku tidak bersalah aibkan Watson Nyambek

Advertisement
 Azizul Ammar (duduk kanan) bersama Abdul Ghani (duduk kiri) menunggu proses ikat jamin di Kompleks Mahkamah Sibu, semalam.
DIDAKWA: Azizul Ammar (duduk kanan) bersama Abdul Ghani (duduk kiri) menunggu proses ikat jamin di Kompleks Mahkamah Sibu, semalam.

SIBU: Pengacara dan penerbit sebuah rancangan sukan komedi didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mengaibkan bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek.

Azizul Ammar Abu Hassan, 30, dan Abdul Ghani Mohd Mokhtar, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama mengaibkan Watson, 41, dengan memprovokasi bekas pelari pecut itu meskipun sedar tindakan provokasi tersebut boleh menggugat keamanan awam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 April 2017, kira-kira jam 11.30 malam di sebuah hotel di Jalan Wong King Huo dan didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Seksyen 504 ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit dengan kesalahan.

Majistret Saiful Sayoti membenarkan kedua-dua tertuduh bebas dengan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 4 Julai ini sebagai tarikh awal pengurusan kes.

Azizul dan Abdul Ghani diwakili oleh peguam bela Sylvia Lu, sementara pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dom Stiwin.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Watson membuat laporan polis setelah tidak berpuas hati dengan rancangan sukan yang disiarkan oleh sebuah syarikat televisyen swasta itu.

Dalam rancangan yang disiarkan itu ketika menyebut nama ‘Watson Nyambek’ seakan menyamakan bapa Watson, yang meninggal dunia tiga tahun lepas, dengan binatang.

Advertisement