Anda di sini

Dipulau, Qatar mohon rundingan Kuwait

Advertisement

Sheikh Tamim tangguh ucapan kepada negara setelah dinasihati oleh Sheikh Sabah

 Kombinasi gambar menunjukkan Sheikh Sabah (kiri) berucap ketika menghadiri persidangan PBB di Manhattan, New York dalam gambar fail 26 September, 2015 manakala Sheikh Tamim menghadiri Sidang Kemuncak Arab Ke-26 di Kuwait City pada 25 Mac tahun sebelumnya. — Gambar Reuters
PERUNDING KRISIS: Kombinasi gambar menunjukkan Sheikh Sabah (kiri) berucap ketika menghadiri persidangan PBB di Manhattan, New York dalam gambar fail 26 September, 2015 manakala Sheikh Tamim menghadiri Sidang Kemuncak Arab Ke-26 di Kuwait City pada 25 Mac tahun sebelumnya. — Gambar Reuters

DOHA/DUBAI: Pemerintah Qatar menangguhkan ucapan kepada negara semalam berhubung pengasingan diplomatik mendadak yang menjejaskan oleh negara-negara Arab lain, bagi memberi ruang dan masa kepada Kuwait untuk campur tangan.

Dalam petanda akibat berpotensi ke atas ekonomi Qatar, sejumlah bank di wilayah tersebut mulai berundur daripada perjanjian perniagaan dengan Qatar.

Menteri Luar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani berkata, Doha bersedia untuk usaha rundingan selepas Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dalam langkah mengejut.

Mereka berkata, tindakan didorong oleh sokongan Qatar terhadap militan Islamis dan Iran, tuduhan yang dinafikan Doha sekeras-kerasnya.

Yaman, kerajaan Libya yang berpangkalan di timur dan Maldives kemudian menyertai pengasingan tersebut dan hubungan pengangkutan ditutup.

Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani berbual di telefon malam kelmarin dengan rakan sejawatannya di Kuwait, yang masih mengekalkan hubungan dengan Qatar, sebelum membuat keputusan untuk menangguhkan ucapannya, kata menteri terbabit kepada televisyen Al Jazeera berpangkalan di Qatar.

Doha juga membuat keputusan untuk tidak membalas balik tindakan jiran-jirannya, tambah Sheikh Mohammed.

Dalam petanda impak langkah tersebut, beberapa bank komersial Arab Saudi dan UAE menangguhkan urusan perniagaan dengan bank Qatar, seperti surat kredit, disebabkan oleh perpisahan diplomatik tersebut, menurut sumber perbankan semalam.

Amir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber al-Sabah memainkan peranan penting ketika krisis Teluk sebelum ini pada 2014, dan Sheikh Tamim menganggap beliau sebagai seorang bapa dan menghormati seruannya untuk menangguhkan sebarang ucapan atau langkah sehingga situasi krisis lebih jelas, tambah menteri luar.

Sheikh Mohammed memberitahu, langkah yang diambil ke atas Qatar menjejaskan rakyatnya dan hubungan kekeluargaan dalam wilayah Teluk Arab.

Beliau berkata, Qatar percaya perbezaan antara negara-negara berjiran mesti diselesaikan melalui dialog dan mengadakan sesi bertukar pandangan dan merapatkan perbezaan, tatkala menghormati pandangan pihak lain.

Sheikh Sabah yang sudah puluhan tahun menjadi diplomat dan perunding dalam pertikaian wilayah, menerima lawatan Sheikh Tamim minggu lepas ketika krisis mulai memuncak.

Keputusan kelmarin tidak membenarkan rakyat Arab Saudi, UAE dan Bahrain daripada berkunjung, tinggal atau melintasi Qatar.

Penduduk dan pelawat negara-negara itu juga harus meninggalkan Qatar dalam tempoh 14 hari, begitu juga sebaliknya jika rakyat Qatar berada di negara-negara terlibat.

Langkah tersebut lebih teruk daripada krisis lapan bulan pada 2014 apabila Arab Saudi, Bahrain dan UAE memanggil pulang duta mereka dari Doha, sekali lagi atas dakwaan Qatar menyokong kumpulan militan. — Reuters

Advertisement