Anda di sini

16 tertuduh tarik balik rayuan sabitan

Advertisement

Sebahagian tertuduh kes ceroboh Lahad Datu dipenjara antara 13 tahun dan 18 tahun

 Anggota penjara dan polis mengawal ketat sebahagian penceroboh Lahad Datu bagi mendengar rayuan berkaitan hukuman melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas di Mahkamah Rayuan Putrajaya dekat Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
KAWALAN KETAT: Anggota penjara dan polis mengawal ketat sebahagian penceroboh Lahad Datu bagi mendengar rayuan berkaitan hukuman melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas di Mahkamah Rayuan Putrajaya dekat Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Enam belas tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu akan menjalani hukuman penjara antara 13 tahun dan 18 tahun kerana menganggotai sebuah kumpulan pengganas, selepas mereka menarik balik rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan itu.

Kesemua tertuduh itu terdiri daripada tiga rakyat Malaysia iaitu Pabblo Alie, Abdul Hadi Mawan dan Mohamad Ali Ahmad serta 13 rakyat Filipina termasuk Datu Amirbahar Hushin Kiram, anak saudara Jamalul Kiram, yang mengakui dirinya Sultan Sulu.

Rakyat Filipina lain ialah Julham Rashid, Lin Mad Salleh, Virgilio Nemar Patulada @ Mohamad Alam Patulada, Salib Akhmad Emali, Tani Lahad Dahi, Basad H. Manuel, Aiman Radie, Holland Kalbi, Ismail Yasin, Atik Hussin Abu Bakar, Al-Wazir Osman dan Timhar Hadil.

Mereka adalah antara 28 lelaki berusia 21 tahun dan 77 tahun yang dikawal ketat semasa ke Mahkamah Rayuan pada hari pertama pendengaran rayuan masing-masing dan rayuan pihak pendakwaan semalam. Pendengaran rayuan itu dijadual berlangsung selama tiga hari di kamar Mahkamah Persekutuan, yang diisytihar sebagai Mahkamah Rayuan.

Hakim Datuk Setia Mohd Zawawi Salleh, yang mempengerusikan panel hakim tiga anggota, kemudian menolak rayuan mereka dan mengekalkan sabitan kesalahan serta hukuman yang dikenakan terhadap mereka oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada tahun lepas.

Pabblo, Mohamad Ali dan Abdul Hadi masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi setelah mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan menghasut atau menggalakkan tindakan keganasan, mencari sokongan untuk kumpulan pengganas dan menjadi anggota kumpulan pengganas.

Lin Mat Salleh, Virgilio Nemar, Basad, Aiman, Holland, Ismail dan Atik Hussin pula masing-masing dikenakan hukuman penjara 13 tahun kerana menganggotai sebuah kumpulan pengganas, manakala Salib Akhmad dan Timhar masing-masing dihukum penjara 15 tahun kerana kesalahan sama.

Julham, Tani Lahad, Amirbahar dan Al-Wazir pula masing-masing dijatuhi hukuman penjara 18 tahun kerana menganggotai sebuah kumpulan pengganas.

Bagaimanapun, sembilan daripada warganegara Filipina itu - Julham, Virgilio Nemar, Salib, Tani Lahad, Basad, Amirbahar, Atik Hussin, Al-Wazir dan Ismail - akan meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan kesalahan mereka melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan mengenakan hukuman penjara seumur hidup terhadap mereka.

Pasukan pendakwaan, yang diketuai timbalan ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Awang Armadajaya Awang Mahmud, mendesak agar hukuman mati dikenakan terhadap mereka.

Perbicaraan itu, yang bermula pada Januari 2014 di Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu, menyaksikan 30 individu, termasuk seorang wanita menghadapi pelbagai tuduhan berkaitan pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo pada Februari 2013.

Wanita itu, Norhaida Ibnahi, rakyat Filipina yang tinggal di Sabah, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi berkenaan selepas dia disabitkan kesalahan melindungi seorang anggota kumpulan pengganas yang menceroboh Kampung Tanduo.

Dia tidak mengemukakan rayuan manakala seorang lelaki, Habil Suhaili, telah meninggal dunia.

Panel hakim itu, yang turut dianggotai Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim, kemudian meneruskan pendengaran rayuan pihak pendakwa terhadap keputusan melepaskan dan membebaskan 12 rakyat Filipina daripada tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan tuduhan berkaitan pengganas.

Mereka ialah Masir Aidin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhmad, Rijmal Salleh, Abdul Majil Jubin, Rizman Gulan, Basil Samiul, Totoh Hismullah, Saidili Jaharul, Kadir Uyung, Lating Tiong dan Dani Ismail.

Peguam Datuk N. Sivananthan mewakili 25 tertuduh, Abdul Ghani Zelika mewakili Pabblo dan Abdul Hadi, manakala Ram Singh mewakili Mohd Ali.

Pendengaran rayuan itu bersambung hari ini. — Bernama

Advertisement