Anda di sini

Puntung akhirnya ‘ditidurkan’ menerusi operasi euthanasia

Advertisement

KOTA KINABALU: Puntung iaitu seekor badak sumbu Sumatra yang menjadi perhatian sejak beberapa bulan ini akhirnya ‘ditidurkan’ menerusi satu operasi euthanasia yang dilakukan selepas menderita akibat barah sel skuamus atau kanser kulit di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.

Pengarah Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata, operasi euthanasia terpaksa dilakukan awal daripada tarikh asal yang dirancangkan iaitu pada 15 Jun ini.

“Usaha itu dilakukan bagi menamatkan penderitaan dialami badak sumbu betina itu yang dianggarkan berusia 25 tahun.

“Sel barah dialami Puntung semakin membesar daripada segi saiz sehingga membuatkannya mengalami kesukaran bernafas,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Beliau berkata selepas mengadakan rundingan dengan penasihat pembiakan badak di Institut Leibniz untuk Zoo dan Penyelidikan Hidupan Liar di Berlin serta pihak berkaitan, pihaknya mengambil keputusan untuk menamatkan penderitaan Puntung yang semakin tenat.

Selain itu katanya, keadaan Puntung terkini turut menjadi salah satu faktor keputusan untuk euthanasia diawalkan pagi kelmarin daripada tarikh asal.

“Demi kelangsungan hidup spesies badak itu, ovari Puntung akan dihantar ke Institut Agro Bioteknologi di Serdang, Selangor.

“Pakar pembiakan dari Jakarta, Indonesia Prof Arief Boediono akan datang untuk mengambil sel telur yang mungkin ada,” katanya.

Augustine turut memuji usaha dan dedikasi yang dilakukan oleh penjaga Puntung iaitu Wilson Kuntil, Hassan Sani dan Samad Gubin kerana telah tidur selama seminggu dengan badak itu di pusat perlindungannya dalam usaha pemantauan selama 24 jam.

Advertisement