Anda di sini

Persenda nama bapa Watson, dua mengaku tak bersalah

Advertisement

(Hakcipta terpelihara. Sebarang bentuk penerbitan semula sama ada menerusi media sosial atau bercetak tanpa kebenaran dan kredit kepada Utusan Borneo akan diambil tindakan selanjutnya.)

 Azizul (dua kiri) dibawa memasuki semula Kompleks Mahkamah Sibu untuk proses ikat jamin.
DIDAKWA: Azizul (dua kiri) dibawa memasuki semula Kompleks Mahkamah Sibu untuk proses ikat jamin.

SIBU: Pengacara bersama penerbit sebuah rancangan sukan komedi didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mengaibkan bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek.

Azizul Ammar Abu Hassan, 30, dan Abdul Ghani Mohd Mokhtar, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan oleh juru bahasa mahkamah dalam bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama mengaibkan Watson, 41, dengan memprovokasi bekas pelari pecut itu meskipun sedar tindakan tersebut boleh mengugat keamanan awam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Mei, 2017, kira-kira jam 11.30 pagi di sebuah hotel di sini dan didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Seksyen 504 ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit dengan kesalahan.

Majistret Saiful Sayoti membenarkan kedua-dua tertuduh bebas dengan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 4 Julai ini sebagai tarikh awal pengurusan kes.

Azizul dan Abdul Ghani diwakili oleh peguam bela Sylvia Lu sementara pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dom Stiwin.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Watson telah membuat laporan polis setelah tidak berpuas hati dengan rancangan sukan terbitan sebuah syarikat swasta itu.

Rancangan yang disiarkan di stesen televisyen swasta itu ketika menyebut nama 'Watson Nyambek' seakan menyamakan bapa Watson, yang meninggal dunia tiga tahun lepas, dengan binatang.

Pendakwaan dibuat di Sibu kerana laporan polis dibuat di bandar tersebut.

  • oleh
  • Advertisement