Anda di sini

Pejuang asing IS kini sasaran antiterorisme

Advertisement

SYDNEY: Pegawai atasan Amerika Syarikat (AS) dan Australia semalam memberi amaran pejuang asing yang berang dan pernah berada di medan perang mungkin kembali ke Asia Tenggara dari Timur Tengah dan mengangkat senjata di negara mereka sendiri.

Amaran tersebut dibuat susulan serangan pengganas hujung minggu lalu di London, yang diakui oleh kumpulan Islamic State (IS) dan peningkatan ancaman pelampau di Filipina.

“Pejuang IS akan kembali dengan kemahiran berperang, ideologi lebih keras, marah, kecewa dan kita perlu amat menyedarinya,” kata Menteri Pertahanan Australia Marise Payne.

Beliau berkata demikian pada sidang kemuncak menteri-menteri Australia-AS yang turut dihadiri Pengarah Pentagon Jim Mattis, Setiausaha Luar AS Rex Tillerson dan rakan sejawatannya dari Australia Julie Bishop.

Bertindak balas kepada serangan di London, Mattis berkata: “Kita bersatu dalam tekad kita, walaupun menentang musuh yang menyangka dengan menyakitkan kita mereka boleh menakutkan kita.”

“Kita tidak takut.”

Presiden Donald Trump telah mengarahkan Pentagon untuk ‘memusnahkan’ IS bagi mencegah pejuang asingnya daripada melepaskan diri dan kembali ke tanah air masing-masing tatkala kumpulan pelampau itu semakin kalah di Iraq dan Syria.

Matlamatnya adalah untuk mengepung dan membunuh seramai mungkin pejuang di kawasan itu berbanding membenarkan mereka keluar dari bandar dan menyasari mereka ketika melarikan diri.

Ia juga langkah terdesak untuk menghalang pejuang membawa balik kepakaran ketenteraan dan ideologi mereka ke Barat.

“Sebelum ini kami membedil mereka dari satu bandar ke bandar yang lain.

“Kami kini mengambnil masa untuk memastikan pejuang asing tidak kembali ke Paris, Perancis, Australia, ke mana sahaja mereka berasal, dan membawa pulang mesej kebencian dan kemahiran mereka ke tempat tersebut untuk menyerang orang yang tidak berdosa,” kata Mattis.

Isu membanteras terorisme agenda utama persidangan tahunan itu semalam.

Pihak berkuasa Australia berkata, mereka telah mencegah 12 serangan pengganas sejak 2014 dan mendakwa lebih 60 orang.

Di Filipina, ratusan orang awam masih terperangkap dalam pertempuran di antara tentera kerajaan dan militan Islamis yang sudah menguasai Marawi di pulau selatan bergolak Mindanao. — AFP

Advertisement