Anda di sini

Malim Gunung Kinabalu terus terapkan aspek keselamatan, tingkat kewaspadaan

Advertisement

RANAU: Malim gunung terus menitikberatkan aspek keselamatan dan meningkatkan tahap kewaspadaan dalam usaha memastikan misi para pendaki Gunung Kinabalu untuk menawan puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu berjalan lancar.

Ini termasuk memberi penerangan dan peringatan kepada para pendaki supaya sentiasa mematuhi segala peraturan serta arahan daripada malim gunung bagi memastikan keselamatan mereka terjamin semasa pendakian.

Seorang malim gunung, Rasinah Rasin berkata, beliau dan rakan-rakan lain juga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakian sehingga ke puncak gunung jika keadaan tidak mengizinkan.

“Contohnya, jika berlaku hujan, maka pendakian tidak diteruskan. Oleh itu, para pendaki perlu menerima keputusan dan mendengar arahan malim gunung demi keselamatan mereka,” katanya ketika ditemui Bernama di Taman Kinabalu di Kundasang, dekat sini, semalam.

Rasinah, 40, yang merupakan seorang daripada 12 malim gunung wanita itu berkata, penting bagi seorang pendaki melengkapkan diri dengan keperluan seperti jaket, makanan dan ubat-ubatan sebagai persiapan awal jika berlaku kecemasan di pertengahan jalan.

Bagaimanapun, Rasinah berkata, pasukan bantuan mencari dan menyelamat di gunung (MOSAR) juga sentiasa bersiap sedia memberi bantuan kecemasan kepada para pendaki termasuk membawa mereka turun dari kawasan gunung ke Timpohon Gate.

MOSAR ditubuhkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah susulan gempa bumi bermagnitud 5.9 pada skala Richter yang melanda Ranau pada 5 Jun 2015 yang telah mengorbankan 18 nyawa termasuk empat malim gunung yang berada di Gunung Kinabalu ketika kejadian.

Semalam merupakan hari memperingati ulang tahun kedua tragedi dan mangsa gempa bumi itu.

Sementara itu, seorang lagi malim gunung, Randi Hasanuddin berkata tragedi tersebut masih terpahat dalam ingatan dan adakalanya terkenang peristiwa itu meskipun sudah dua tahun berlalu.

Namun, katanya, keadaan sekarang telah kembali seperti biasa dan para pendaki sudah mempunyai keyakinan apabila semakin ramai yang mendaki Gunung Kinabalu sejak laluan pendakian baharu dibuka kepada orang ramai. — Bernama

Advertisement