Anda di sini

APMM tahan bot pam haram

Advertisement
 bot pam haram ditahan APMM dalam Operasi Sejahtera, kelmarin.
HARAM: bot pam haram ditahan APMM dalam Operasi Sejahtera, kelmarin.

KOTA KINABALU: Sebuah bot pam haram berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu di 0.2 Batu Nautika dari Pulau Sepanggar, dekat sini, kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata bot pam terbabit ditahan oleh bot ronda Kapal Maritim Banggi (KM Banggi) yang sedang dalam Operasi Sejahtera.

Menurutnya semasa KM Banggi cuba menghampiri dan memintas, bot berkenaan bertindak agresif dengan memecut dan melarikan diri ke kawasan perairan Pulau Sepanggar.

Awak-awak bot pam terbabit membuang satu objek seperti botol ke laut.

“Suspek berjaya meloloskan diri dengan terjun ke kawasan cetek dan meninggalkan bot pam itu.

“Semasa pemeriksaan dibuat, terdapat lebih kurang 10 kilogram ikan dari bermacam-macam jenis didapati di bot terbabit.

“Selain itu, turut ditemukan bahan-bahan untuk membuat bahan letupan serta peralatan menyelam bagi menangkap ikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Antara peralatan yang terdapat di atas bot pam berkenaan termasuklah botol plastik mengandungi serbuk ammonium, pemampat udara, getah paip, benang hijau, botol kaca, taguk ikan dan alat ‘snorkel’.

Adam berkata bot pam itu ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti bom ikan dan tangkapan dilakukan di bawah Akta Perikanan 1985.

Pihaknya turut membawa bot pam terbabit ke jeti APMM untuk siasatan lanjut. 

“Maritim Malaysia memandang serius kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah bom dan operasi secara berterusan dilakukan bagi membendung kejadian ini daripada berleluasa.

“Sehubungan itu, komuniti maritim khususnya di daerah ini disaran supaya memberi maklumat berkenaan aktiviti pengeboman ikan.

“Ini bagi memastikan perairan kita bebas dari sebarang aktiviti jenayah khususnya membabitkan pengeboman ikan,” katanya.

Advertisement