Anda di sini

Mengasah Kapak Anda

Advertisement
 

“Membaca buku boleh mengasah kapak anda dan membantu anda mencapai kejayaan kepimpinan.” – Roshan Thiran

Kebanyakan pemimpin terlalu sibuk bekerja sehingga jarang mengambil masa untuk belajar dan maju ke hadapan. Kebanyakan kita jarang ada masa dan kesabaran untuk meningkatkan kemahiran  atau pengetahuan kita tentang industri yang berkaitan, atau mengambil masa untuk berfikir dan berenung. Kebanyakan orang menganggap pembelajaran berakhir apabila mereka meninggalkan bangku sekolah dan dengan itu, mengasah kapak bukan lagi keutamaan dalam hidup mereka.

Apakah sebenarnya mengasah kapak? Dr Stephen Covey, yang mempopularkan terma ini, percaya ia bermakna “meningkatkan kapasiti produktiviti anda melalui  penjagaan dan penyelenggaraan diri setiap hari”.

Ramai orang gagal memahami maksud sebenarnya dan  ingat ia bermakna beristirehat atau bercuti. Jika anda terlalu banyak bekerja dan produktiviti anda menurun, ambil masa untuk beristirehat. Bagaimanapun, itu bukan mengasah kapak; itu cuma meletakkan kapak. Apabila anda cuma meletakkan mata pisau yang tumpul, ia akan tetap tumpul apabila diangkat semula.

Misalnya, seorang penebang pokok memerlukan masa untuk beristirehat tetapi masa itu bukan “mengasah kapak”. Penebang pokok itu akan menjadi lebih produktif apabila dia mengasah kapaknya dengan mengkaji teknik baharu untuk menebang pokok, bersenam untuk menjadi lebih kuat, dan belajar daripada penebang-penebang pokok yang lain.

Mengasah kapak 

Anda boleh mengasah kapak kehidupan anda dengan menjalankan aktiviti-aktiviti berikut:

  • Membaca sebuah buku setiap hari
  • Keluar dari zon selesa dengan menukar pekerjaan.
  • Berbual secara mendalam dengan seseorang yang kuat daya tarikannya.
  • Berkecimpung dalam hobi baharu yang merenggangkan anda dari segi fizikal, mental dan emosional.
  • Menelaah sesuatu yang baharu.
  • Mengatasi sesuatu ketakutan anda atau menghentikan sesuatu tabiat buruk.
  • Bersenam setiap hari atau menyertai mana-mana pertandingan.
  • Mengenal pasti titik buta anda. Memahami, mengenali dan menangani mereka.
  • Meminta maklum balas daripada orang lain dan mendapatkan seorang mentor.
  • Belajar daripada mereka yang menginspirasikan. Layarilah www.leaderonomics.com/bm untuk mendapatkan bahan-bahan pembangunan kepimpinan peribadi dan profesional.

Anda perlu melakukan aktiviti-aktiviti tersebut sekerap mungkin. Jika anda terlalu memberi tumpuan kepada kerja yang anda buat tanpa meluangkan masa untuk berbincang, merenung ke dalam  atau menelaah, anda sebenarnya tidak maju ke hadapan. Seperti mana sebuah kereta perlu diisikan dengan minyak untuk bergerak, kita juga perlu diisi semula melalui pembelajaran.

Menurut pengarang The Management Mythbuster (Penghapus Mitos Pengurusan), David Axson, kebanyakan organisasi masih menggunakan strategi pengurusan yang sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan untuk masa ini. Melainkan kita mengasah kapak setiap hari dengan memerhati dunia yang kian berubah dan turut mengubah diri, kita akan menghadapi risiko menjadi tidak relevan.

Andrew Grove mengubah semula Intel. Hasilnya ialah Intel mencapai kenaikan 4500 kali dalam permodalan pasaran. Ini berlaku kerana organisasi itu mengasah kapaknya setiap hari termasuk memahami perubahan-perubahan global dan mengambil kesempatan daripada perubahan-perubahan itu untuk memastikan Intel tetap relevan.  

Pekerja-pekerja di organisasi-organisasi Jepun seperti Toyota percaya ia adalah suatu krisis jika mereka tidak mencapai penambahbaikan setiap hari. Minda “kaizen” (berubah demi kebaikan) bermakna bahawa pada setiap hari, sama ada anda pekerja biasa atau eksekutif, anda akan mencari jalan untuk mempelajarai sesuatu yang baharu dan menggunakannya.

Pemimpin-pemimpin unggul seperti Gandhi, Nelson Mandela dan  Steve Jobs sentiasa kelaparan untuk pembelajaran dan pertumbuhan. Mereka sentiasa mendengar dan memerhati dengan harapan mendapat idea baharu dan menjumpa kebenaran dan realiti baharu.

Tidak sukakan perubahan 

Yang menarik ialah kebanyakan kita membuat sebaliknya. Kita membuat kerja yang sama untuk bertahun-tahun biarpun kita sudah menjadi pakar dan peranan itu kian senang untuk diperlakukan dan kita tidak lagi mempelajari apa-apa yang baharu. Kita tidak suka bertukar pekerjaan kerana ada kesakitan dan pergelutan dalam mengambil peranan baharu. Tetapi semakin kita bergelut, semakin banyak pelajaran yang akan kita capai.

Tetapi apabila bos baharu dengan jangkaan baharu mengambil alih, kita kadang-kadang bergelut biarpun kita sudah sekian lama dalam peranan yang sama. Kita bekerja dengan lebih kuat tetapi masih gagal mengambil hatinya. Kenapa ini berlaku?

Bekerja lebih kuat tidak mungkin membawa apa-apa hasil. Ini kerana kita tidak meningkatkan diri mahupun berkembang semasa tahun-tahun yang “mudah”. Pengalaman kita yang bertahun-tahun itu tidak bermakna dan tidak berhasil kerana kita tidak mengikut perkembangan dunia di sekeliling kita dan tidak mempedulikan peristiwa yang berlaku di sekitar kita pada setiap hari.

Dalam temuramah saya dengan Profesor Ellen Langer dari Harvard, beliau mengingatkan saya mengenai kecenderungan kita untuk tidak berfikir. Tidak berfikir adalah kecenderungan manusia untuk beroperasi secara auto pandu sama ada membuat sesuatu secara mekanikal atau stereotaip, atau langsung tidak memberi perhatian. Kita semua adalah mangsa “tidak berfikir” pada ketika-ketika tertentu. Apabila kita mengasah kapak, kita tidak lagi membuat sesuatu secara membuta tuli. Kita akan berfikir dan cuba membuat kerja itu melebihi had batasnya.

Tetapi janganlah kita terlebih-lebih mengasah kapak atau mengasah tanpa hala tujuan. Kalau kita berbuat demikian, ia mungkin bertukar menjadi alasan untuk berlengah-lengah.

Jadi, kenapakan ramai orang gagal mengasah kapak mereka? Ini kerana ia bukan sesuatu yang menyeronokkan tetapi sesuatu yang tidak menyenangkan dan menjemukan.

David McKay menambah:

“Pertempuran hidup yang terbesar adalah untuk menentang kehidupan harian di dalam ruang-ruang kesepian jiwa.”

Mengasah kapak adalah pergelutan dalaman yang kita hadapi setiap hari. Kajian menunjukkan bahawa presiden-presiden yang berpendidikan kendiri seperti George Washington dan Abraham Lincoln mengasah kapak mereka setiap hari dengan memupuk disiplin membaca.

Dalam kebanyakan organisasi di Asia, apabila berlakunya krisis kewangan, langkah awal yang diambil ialah memotong belanjawan yang ditetapkan untuk program latihan pekerja sedangkan yang sepatutnya dibuat ialah memberi peluang-peluang kepada para pekerja untuk mengasah kapak mereka supaya dapat menangani isu-isu yang timbul.

Krisis sering menyebabkan syarikat-syarikat menjadi hebat kerana mereka akhirnya mengambil masa untuk “mengasah kapak”dengna melihat semula strategi semasa mereka dan mencipta ulang industri mereka biarpun kadang-kadang melalui pembaharuan-pembaharuan yang menyakitkan.

Contohnya sebelum krisis kewangan Asia pada tahun 1998, industri automotif Korea Selatan merupakan “jaguh-jaguh kampung” yang terkenal dengan kereta-kereta berkualiti rendah dengan jualan domestik kereta yang kukuh. Tetapi krisis tersebut telah memaksa mereka untuk mengambil selangkah ke belakang, mengasah kapak, menjadi lebih prihatin terhadap permintaan dunia dan bertindak menjual majoriti kereta keluarannya kepada pasaran luar negeri.

Sudah tentu kapak yang terlalu diasah atau diasah tanpa hala tujuan boleh menjadi satu lagi bentuk penangguhan. Ramai yang suka menyertai latihan dan kelas-kelas tetapi jarang menggunakan kapak mereka. Selepas mengasah kapak, gunakannya; kalau tidak semuanya sia-sia sahaja.

Bagaimanakah keadaan mata-mata kapak anda? Kemahiran anda, pengetahuan anda, minda anda, tubuh fizikal anda, hubungan anda, tahap motivasi, komitmen anda untuk berjaya, keupayaan anda untuk bertumbuh, emosi anda — adakah semuanya masih tajam? Jika tidak, mana yang tumpul, dan apa yang anda boleh lakukan untuk mengasah mereka?

Lincoln pernah berkata:

“Berikan saya enam jam untuk menebang pokok dan saya akan menghabiskan empat jam pertama mengasah kapak saya.”

Apakah yang anda ingin lakukan untuk mengasah  kapak anda? Berhenti sebentar minggu ini dan mula mengasah kapak anda.

***********************************************************************************************

Roshan Thiran ialah Ketua Pegawai Leaderonomics. Anda boleh menghubunginya melalui e-mel [email protected] atau media sosial  Facebook, LinkedIn atau Twitter @lepaker

Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

https://leaderonomics.com/bm/artikel/asahkan-kapak-demi-kejayaan-kepimpinan

Sumber

Advertisement