KUCHING: Penyerang muda Sarawak, Nur Shamie Iszuan Amin tetap yakin dapat mewakili skuad bola sepak bawah 22 tahun negara pada temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur meskipun masih dihambat masalah kecederaan buku lali kiri sejak dua bulan lalu.
Pemain berusia 21 tahun itu menjelaskan kecederaan beliau hampir pulih sepenuhnya dan yakin dapat kembali beraksi sebelum temasya Sukan SEA Kuala Lumpur dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos depan.
“Saya telah berjumpa dengan pakar di Institut Sukan Negara (ISN) Kuala Lumpur dan mereka mengesahkan masih terdapat koyakan tisu buku lali memerlukan sekurangkurangnya dua minggu untuk pulih sepenuhnya.
“Ketua Jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) membenarkan saya balik ke Kuching untuk memulihkan kecederaan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Nur Shamie, be - liau menaruh harapan tinggi untuk membuat kemunculan pertama di pentas Sukan SEA selepas diberi kepercayaan untuk menyarung jersi negara.
Bukan itu sahaja, beliau turut menyimpan hasrat sekali lagi mewakili negara pada Kejohanan Piala AFC dijadual berlangsung dari 19 hingga 23 Julai di Bangkok, Thailand jika pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.
“Memang menjadi impian saya untuk mewakili negara pada Sukan SEA 2017 dan saya berharap akan menjadi kenyataan.
“Ia cukup manis kerana Sukan SEA akan diadakan di Kuala Lumpur dan saya tidak mahu terlepas menyumbang kepada negara,” katanya.
Mengenai Kejohanan AFC, Nur Shamie tidak menaruh harapan tinggi kerana bergantung kepada seberapa cepat beliau sembuh daripada kecederaan namun tetap berhasrat untuk mewakili negara.
Selain Nur Shamie, seorang lagi penyerang Sarawak, Tommy Mawat turut dipanggil oleh ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee menjalani pemilihan pemain-pemain skuad negara.
Skuad negara akan ‘berguru’ selama lapan hari di China (6 hingga 13 Jun) dan mereka akan berlatih serta mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan dan kelab di sana.