KUCHING: Beberapa negara anggota ASEAN dijangka menyertai Kejohanan Angkat Berat Terbuka Sarawak pada September ini, kata Presiden Persatuan Angkat Berat Negeri Sarawak (PABNS), Gerald Rentap Jabu.
Beliau berkata pihaknya akan menghantar jemputan kepada Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei Darussalam, Myanmar dan Kemboja sebaik sahaja tarikh kejohanan itu diputuskan, Menurutnya, penganjuran kejohanan itu bertujuan mempromosikan sukan angkat berat dalam kalangan peminat tempatan di samping memberi peluang dan ruang kepada atlet tempatan menimba pengalaman bersaing dengan peserta luar negara.
Dalam masa sama, kejohanan ini akan membantu usaha kita mengangkat martabat sukan angkat berat di Sarawak ke tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama semalam.
Mengenai persiapan termasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Ipoh, Perak, beliau berkata pihaknya akan memastikan Sarawak mempunyai wakil dalam setiap kategori yang dipertandingkan.
Sebanyak 34 kategori akan dipertandingkan pasa SUKMA Perak 2018 dengan menawarkan 96 pingat termasuk 32 pingat emas.
“Kita akan menyertai semua kategori kerana kita percaya dengan berbuat demikian peluang untuk mengumpul lebih banyak pingat terutama pingat emas adalah lebih cerah,” kata Rentap, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar.
Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Dr Ong Kong Swee berkata Sarawak mempunyai tujuh pusat latihan sukan angkat berat di bandar-bandar utama dan sekolah di seluruh negeri. — Bernama