Anda di sini

Siklon Mora badai Bangladesh, ribuan dipindah

Advertisement
 Penduduk kampung tidur di pusat perlindungan siklon setelah dipindahkan pihak berkuasa dari kampung pesisiran pantai di daerah Cox’s Bazar, kelmarin menjelang kemaraan Mora. — Gambar AFP
TERSELAMAT: Penduduk kampung tidur di pusat perlindungan siklon setelah dipindahkan pihak berkuasa dari kampung pesisiran pantai di daerah Cox’s Bazar, kelmarin menjelang kemaraan Mora. — Gambar AFP

DHAKA: Siklon Mora melanda Bangladesh semalam, dengan ribut selaju 135 kilometer sejam (ksj), dan merosakkan ribuan kediaman ketika lebih 300,000 penduduk lari dari kampung tepi pantai.

Taufan yang buruk itu tiba di daratan di pantai antara Cox’s Bazar dengan kota pelabuhan utama Chittagong pada jam 6.00 pagi (waktu tempatan), kata Jabatan Meteorologi Bangladesh (BMD).

Tiada kematian segera dilaporkan tetapi kerosakan besar berlaku di kebanyakan bandar dan kampung.

Pihak berkuasa memindahkan lebih 300,000 orang ke pusat perlindungan siklon selepas menaikkan angka tertinggi 10 dalam amaran bahasa cuaca.

Pihak berkuasa sebelum ini merancang untuk memaksa sejuta penduduk mening-galkan kampung mereka.

Mereka sudah dipindahkan ke sekurang-kurangnya 400 pusat perlindungan siklon, sekolah dan pejabat kerajaan di kawasan pantai,” kata Golam Mostofa, pegawai kanan yang menyelaras pemindahan.

Mostofa berkata tiada laporan diterima mengenai kematian setakat ini.

Namun ada kebimbangan bagi ratusan ribu pelarian Rohingya yang tinggal dalam rumah setinggan yang tidak teguh selepas mereka lari dari keganasan atau penindasan di negara jiran Myanmar.

Terdapat kira-kira 300,000 orang Muslim Rohingya yang tinggal dalam daerah Cox’s Bazar dan sekitarnya, di mana seorang pegawai berkata taufan telah menyebabkan kerosakan yang berleluasa.

Ketua masyarakat Abdus Salam berkata tiada usaha dijalankan untuk memindahkan mereka ke pusat perlindungan siklon.

Kira-kira 20,000 buah rumah di kem pelarian Rohingya telah dirosakkan oleh taufan,” katanya.

Di beberapa tempat, hampir setiap rumah setinggan yang diperbuat daripada tin, buluh dan plastik telah diratakan. Ada yang cedera, namun tiada yang mati.”

Seorang pegawai kanan daerah Anwarul Naser berkata beberapa ribu buah rumah telah rosak dalam kawasan itu, kebanyakannya struktur yang diperbuat daripada tanah.

Dia berkata usaha untuk menilai kerosakan sepenuhnya dihambat oleh gangguan kepada hubungan telekom.

Pejabat kaji cuaca berkata siklon itu dapat mencetuskan ombak taufan setinggi 1.7 meter di sekitar Cox’s Bazar, Chittagong dan beberapa kawasan pantai lain di Teluk Benggali yang didiami jutaan manusia.

Ia melanda Pulau Saint Martin dengan kelajuan ribut 114 ksj dan Teknaf pada kelajuan 135 ksj,” kata pengarah BMD Shamsuddin Ahmed kepada pemberita.

Pentadbiran tempatan memanggil pulang semua kapal ikan dan menasihatkan mereka untuk sentiasa berlabuh, manakala lembaga pelabuhan Chittagong sudah menghentikan semua trafik keluar masuk ke pelabuhan.

Semua penerbangan keluar masuk ke lapangan terbang antarabangsa Chittagong dan lapangan terbang Cox’s Bazar sudah digantung.

Bangladesh biasa dibadai taufan antara April hingga Disember yang menyebabkan kematian dan kerosakan harta benda meluas.

Mei tahun lepas, Siklon Roanu melanda pantai selatan, mengorbankan 20 orang dan memaksa setengah juta penduduk untuk meninggalkan kediaman.

Namun kali ini kami lebih bersiap sedia,” kata jurucakap lembaga pengurusan bencana Abul Hashim.

Di negara jiran India, Lembaga Pengurusan Bencana Negara menasihati nelayan di negeri pantai timur Bengal Barat tidak keluar ke laut. — AFP

Advertisement