Anda di sini

Permohonan semakan kehakiman ZI Publications didengar 28 Ogos

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam menetapkan 28 Ogos untuk mendengar permohonan semakan kehakiman difailkan oleh ZI Publications Sdn Bhd dan Pengarahnya Mohd Ezra Mohd Zaid terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan lima pihak lain.

Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya yang dihadiri peguam Farhan Haziq Mohamed mewakili ZI Publications dan Mohd Ezra selaku pemohon manakala Penolong Penasihat Undang-Undang Selangor Naziah Mokhtar mewakili JAIS, pengarahnya dan kerajaan Selangor selaku responden.

Turut dinamakan sebagai responden ialah ketua penguat kuasa JAIS, ketua pendakwa Syarie Selangor dan kerajaan Malaysia.

Farhan Haziq ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menetapkan tarikh pendengaran untuk permohonan semakan kehakiman itu selepas Naziah memaklumkan bahawa kesemua responden tidak akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 April lepas.

Pada 26 April lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan permohonan semakan kehakiman oleh ZI Publications dan Mohd Ezra  dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan merit selepas memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menolak permohonan semakan kehakiman pemohon.

Pada 6 Sept 2016, Mahkamah Tinggi membenarkan bantahan awal oleh kesemua responden terhadap permohonan semakan kehakiman ZI Publications dan Mohd Ezra tanpa mendengar merit.

ZI Publications dan Mohd Ezra kemudian merayu terhadap keputusan yang menolak permohonan semakan kehakiman untuk mencabar tindakan JAIS merampas salinan terjemahan buku bertajuk ‘Allah, Kebebasan dan Cinta’ (Allah, Liberty and Love) karya penulis kontroversi, Irshad  Manji.

ZI Publications dan Mohd Ezra memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman pada 9 Julai 2012, antara lain memohon perintah certiorari untuk membatalkan tindakan oleh pegawai JAIS yang menyerbu dan merampas 180 buku itu pada 29 Mei 2012 di syarikat penerbitan ZI Publications di B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3, Petaling Jaya, Selangor. — Bernama

Kedua-duanya juga memohon perintah untuk membatalkan penahanan Mohd Ezra pada 29 Mei 2012 dan pendakwaan oleh JAIS.

Mereka menuntut perisytiharan bahawa Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, berhubung siasatan ke atas Mohd Ezra, diketepikan kerana mendakwa ia bercanggah dengan Perkara 10(1)(a) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan ialah berkaitan kebebasan bercakap dan  bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan. — Bernama

Advertisement