Anda di sini

Memartabat baju tradisi Sabah

Advertisement
 Sebahagian gadis-gadis Kadazandusun yang menyertai pertandingan ‘Unduk Ngadau Pesta Menuai Tambunan 2017’ pada Pusingan Pertama Pertandingan Ratu Menuai di Tambunan, baru-baru ini. Gambar utama menunjukkan 10 gadis suku kaum Dusun Tindal berpakaian tradisional ‘sinipak’ menyertai pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan Kadamaian di Kampung Taginambur Jaya, Kota Belud. — Gambar Bernama
JELITAWAN: Sebahagian gadis-gadis Kadazandusun yang menyertai pertandingan ‘Unduk Ngadau Pesta Menuai Tambunan 2017’ pada Pusingan Pertama Pertandingan Ratu Menuai di Tambunan, baru-baru ini. Gambar utama menunjukkan 10 gadis suku kaum Dusun Tindal berpakaian tradisional ‘sinipak’ menyertai pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan Kadamaian di Kampung Taginambur Jaya, Kota Belud. — Gambar Bernama

MATA lelaki berketinggian sederhana ini merenung tajam kain baldu berwarna hitam yang direntangkannya di atas meja. Setelah yakin dengan ukuran, Mohd Azrul Fildza Abdullah, 41, dengan penuh teliti memotong kain mengikut saiz ditetapkan pada nota buku kecilnya itu.

Sebaik selesai, beberapa helaian renda berwarna merah dan kuning dijahit tangan pada bahagian tertentu baju. Sedikit pun tidak kekok, malah jari-jemari lelaki berketurunan suku kaum Kadazan ini begitu mahir bermain teknik jahitan sehingga menyerlahkan lagi kekemasan dan kreativiti tersendiri busana berona hitam itu.

Sekarang ini agak sibuk kerana menyiapkan tempahan baju tradisi Sabah sempena pesta Kaamatan. Tempahan diterima sejak bulan April hingga pertengahan Mei. Sekarang ini, kami sudah tidak lagi menerima tempahan kerana jahitan baju ini memerlukan ketelitian tinggi.

Ini kerana, ada baju tradisi suku kaum tertentu agak sukar membuatnya dan mengambil masa dua atau tiga bulan hanya untuk siapkan sehelai baju,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedainya di Pekan Keningau, kira-kira 200 kilometer dari bandar Kota Kinabalu.

Biarpun agak jauh dari bandar dan mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan ke pekan ini, Azma Trading, gabungan nama kedai milik lelaki ini bersama isterinya, Fatma Zainal, 36, menjadi antara pilihan utama masyarakat Sabah mendapatkan busana tradisi sempena pesta Kaamatan.

Disambut sebagai antara satu perayaan penting di Sabah bagi mengiktiraf budaya tradisi masyarakat suku kaum Kadazandusun, Murut dan Rungus, pesta Kaamatan adalah perayaan khas untuk menghormati semangat padi.

Ia diraikan selepas selesai menuai padi, turut dikenali sebagai Tadau Kaamatan atau ‘Magavau’ dalam bahasa Kadazan, disambut sepanjang bulan Mei di mana seluruh daerah di Sabah akan mengadakan pesta ini di tempat masing-masing terlebih dahulu.

Kemuncaknya, adalah pada 30 dan 31 Mei di mana setiap daripada mereka akan menggayakan busana tradisional mengikut suku kaum masing-masing dan berkumpul di dewan Hongkod Koisaan Kadazandusun Cultural Association (KDCA).

Pelanggan saya bukan hanya sekitar Sabah tetapi juga semenanjung dan masyarakat negeri ini yang menetap di luar negara. Ada beberapa pelanggan kami yang bekerja di luar negara seperti Jepun, Australia memesan baju tradisi dengan kami melalui Facebook dan Instagram (azmatrading) untuk mereka menggayakannya di sana

Kalau baju Kadazan Penampang atau juga dikenali sinombiaka, kami boleh siapkan tiga hingga lima pasang sehari kerana ia tidak susah.

Hanya jahit renda warna emas dan merah pada baju tetapi baju Dusun Tindal Kota Belud ambil masa dua ke tiga bulan kerana melibatkan sulaman motif,” kata Mohd Azrul Fildza.

LAMBANG IDENTITI

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata baju tradisi Dusun Tindal Kota Belud lebih ‘meriah rekaannya’ kerana hampir keseluruhan besar busana itu dihiasi dengan labuci berwarna merah, kuning dan butang berwarna emas pada baju.

Selain itu, motif berbentuk ubi kayu yang dikenali sebagai ‘linangkit’ akan disulam di lengan kiri dan kanan busana tradisi ini dan itu antara sebab mengapa ia perlu ditempah lebih awal.

Kebanyakan busana tradisi di Sabah berwarna hitam kerana dipercayai lambang kekuasaan atau warna ketuhanan yang dapat melindungi si pemakai daripada makhluk halus yang jahat.

Manakala, ada sesetengah pihak mengatakan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semula jadi pada zaman itu.

Disebabkan itu, bapa kepada lima orang anak ini berkata ada yang beranggapan busana tradisional berona hitam ini hanya digayakan oleh suku kaum Kadazan dan Dusun sahaja kerana ia sinonim dipakai mereka ketika pesta Kaamatan.

Malah, ada juga yang mempunyai persepsi bahawa motif pada setiap pakaian itu adalah sama.

Walhal negeri Sabah yang mempunyai lebih daripada 30 suku kaum ini sebenarnya sangat kaya dengan keunikan budaya dan warisan tersendiri termasuklah dari segi pakaian tradisional.

Setiap daripada suku kaum ini mempunyai pakaian tradisi tersendiri yang melambangkan identiti mereka.

Ia berbeza antara satu sama lain, bergantung daerah dan suku kaum mana,” katanya.

Ramai keliru kerana kebanyakan baju tradisi suku kaum di Sabah berwarna hitam.

Sebenarnya, persamaan setiap baju tradisi Sabah hanyalah tiga benda sahaja iaitu fabrik hitam, renda merah dan emas,” jelasnya lanjut.

Perkara yang membezakannya terletak pada motif, penggunaan bahan seperti manik dan labuci serta potongan baju,” katanya.

Sering terjadi dalam kalangan generasi muda di Sabah kerana tidak tahu asal usul sejarah baju ini, beliau mengambil inisiatif menanyakan pelanggan terlebih dahulu baju suku kaum mana yang ingin dibeli mereka supaya tidak berlaku kesilapan.

Ini kerana suku kaum Kadazan, Dusun dan Murut yang menyambut pesta Kaamatan pun terbahagi kepada banyak cabang sub etnik.

Misalnya, pakaian tradisi Dusun Lotud di daerah Tuaran adalah berbeza dengan Dusun Liwan di Tambunan.

Baju Dusun Lotud Tuaran penuh dengan motif segi tiga yang dijahit menggunakan manik berwarna putih, penggunaan butang warna emas sebesar syiling 50 sen dan ada sulaman di skirt (bagi yang perempuan).

Manakala baju Dusun Liwan langsung tidak mempunyai manik mahupun labuci tetapi dihiasi dengan ‘himpogot’ (perhiasan berupa tali pinggang diperbuat daripada syiling),” katanya.

Tidak mempunyai pekerja, kedai jahitan busana tradisional suami isteri ini yang berkeluasan 450 kaki persegi turut kelihatan beberapa helaian busana tradisional yang digantung kemas untuk dijual kepada pelanggan.

Selain itu, aksesori seperti ‘himpogot’, ‘sigar’, topi Murut dan ‘tangkong’ (aksesori diperbuat daripada biji tembaga) yang menjadi antara perhiasan wajib sewaktu menggayakan pakaian tradisional itu turut dipamerkan dalam ruang kaca khas di kedai ini.

HASIL LUMAYAN

Menurut Mohd Azrul Fildza, Azma Trading ada menjual busana yang sudah siap mengikut saiz standard bagi mereka yang tidak sempat menempah baju tradisi sempena pesta Kaamatan.

Dijual pada harga bermula RM300 sehingga RM2,000, penentuan harga bergantung kepada pakaian suku kaum, kesukaran dan bahan yang digunakan.

Kami menggunakan kain baldu berkualiti tinggi yang tahan lama dan lasak.

Harga boleh dirunding, malah ada pelanggan memberitahu harga kami lebih murah berbanding kedai baju tradisi Sabah lain.

Selain itu, kami juga ada buat perkhidmatan sewa baju dan aksesori.

Untuk sewa, harganya adalah RM80,” katanya.

Busana tradisional hasilan suami isteri ini amat kemas dan mungkin ada tidak menyangka bahawa mereka sebelum ini langsung tidak pandai menjahit.

Namun, semangat Fatma belajar menjahit di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kluang, Johor semasa mengikuti suaminya berkhidmat sebagai tentera di sana, banyak membantu meningkatkan pendapatan mereka.

Purata hasil pendapatan Azma Trading adalah sekitar RM10,000 hingga RM11,000 sebulan.

Malah ia meningkat sehingga RM18,000 ketika pesta Kaamatan atau semasa menyertai mana-mana pameran anjuran Kraftangan Malaysia.

Isteri saya belajar menjahit pada tahun 2010 sehingga 2012 kerana ingin buat baju kurung untuk kami sekeluarga.

Tidak sangka pula ada yang ingin tempah dan kebetulan ada seorang cikgu tadika minta isteri saya jahitkan baju tradisi Sabah untuk persembahan,” katanya.

Dia memang tidak pandai tetapi cikgu itu tetap minta tolong.

Nasib baik isteri ada baju Kadazan miliknya yang dipakai ketika majlis tentera,” jelasnya lanjut.

Selepas diteliti, ia sebenarnya seperti baju kebaya.

Dia berjaya menyiap-kannya dan baju itu menjadi buah mulut ramai dan kami mula mendapat tempahan,” tambah beliau.

Sejak itu, kami fokus baju tradisi Sabah dan pada masa sama saya juga belajar menjahitnya,” katanya yang membuka kedai di Pekan Keningau pada 2015 selepas diarahkan berpindah ke Sabah pada 2014.

Hanya tinggal setahun setengah perkhidmatan, Mohd Azrul Fildza berkata, beliau dan isterinya ada mempunyai perancangan untuk menjual secara borong selepas bersara nanti.

Ketika ini, hanya isteri saya yang ada setiap masa di kedai.

Saya hanya menjahit pada hari minggu kerana tidak mahu ganggu waktu kerja.

Selepas ini, saya akan besarkan lagi perniagaan ini dengan melantik ejen,” katanya. — Bernama

 Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bersama ahli jawatankuasa pelaksana Pesta Kaamatan Kadamaian menyanyi lagu ‘Tadau Kaamatan’ selepas perasmian Pesta Kaamatan Kadamaian di Kampung Taginambur Jaya, Kota Belud, baru-baru ini. — Gambar Bernama
BAJU TRADISI: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bersama ahli jawatankuasa pelaksana Pesta Kaamatan Kadamaian menyanyi lagu ‘Tadau Kaamatan’ selepas perasmian Pesta Kaamatan Kadamaian di Kampung Taginambur Jaya, Kota Belud, baru-baru ini. — Gambar Bernama
  • oleh
  • Advertisement