Anda di sini

Kedai aiskrim sasaran IS di Baghdad

Advertisement

Penyerang nekad letupkan kereta sarat bom menyasari pengikut Syiah

 Seorang lelaki meninjau keadaan di tempat kejadian bom kereta berhampiran kafe aiskrim di Baghdad, semalam. — Gambar Reuters
KORBAN RAMADAN: Seorang lelaki meninjau keadaan di tempat kejadian bom kereta berhampiran kafe aiskrim di Baghdad, semalam. — Gambar Reuters

BAGHDAD: Kumpulan pelampau Islamic State (IS) telah mengaku bertanggungjawab ke atas serangan bom kereta yang membunuh sekurang-kurangnya 13 orang dan mencederakan lebih 30 lagi pada awal pagi semalam di jalanan komersial tengah Baghdad, menurut sumber keselamatan.

Seorang pengebom nekad meledakkan sebuah kereta yang dipasang dengan bahan letupan di hadapan kedai aiskrim yang popular di daerah Karrada yang pernah menyaksikan letupan bom trak pada Julai 2016 yang membunuh sekurang-kurangnya 324 orang, kata pegawai keselamatan semalam.

Letupan pada 2016 itu juga diakui IS, yang terburuk seumpamanya sejak pencero-bohan tentera asing diketuai Amerika Syarikat (AS).

Serangan larut malam itu turut mencederakan sekurang-kurangnya 30 orang, kata pegawai.

Agensi dakyah Amaq yang dikaitkan dengan kumpulan Islamic State (IS) berkata pengebom nekad itu menyasari satu perhimpunan pengikut Syiah.

IS menganggap anggota masyarakat majoriti Syiah di Iraq sebagai pengikut ajaran sesat dan kerap melancarkan serangan ke atas mereka.

Pengebom itu bertindak hanya beberapa hari sahaja selepas permulaan bulan puasa Ramadan yang suci, di mana rakyat Iraq selalunya keluar lewat untuk membeli-belah atau bersosial selepas berbuka puasa.

Imej dan gambar yang dipaparkan dalam media sosial menunjukkan impak dahsyat letupan di kawasan penuh sesak sekitar kedai aiskrim Al-Faqma, menyebabkan serpihan batu-bata bertaburan di tengah jalan.

Satu gambaran menunjukkan mangkuk aiskrim bertaburan di tanah yang berlumuran darah selepas serangan berlaku.

Utusan kepada perikatan anti-IS yang diketuai Amerika Syarikat (AS) Brett McGurk, mengecam serangan itu dan menyuarakan solidariti dengan Iraq.

Pengganas ISIS pada malam ini di Baghdad menyasari kanak-kanak dan keluarga yang berseronok bersama di sebuah kedai aiskrim.

Kami berdiri bersama Iraq menentang kejahatan ini,” kata McGurk dalam Twitter, menggunakan akronim lain bagi IS.

IS mengepung kawasan yang besar ke utara dan barat Baghdad pada 2014, tetapi sejak itu tentera Iraq yang disokong oleh serangan udara yang diketuai AS merampas semula kebanyakan wilayah yang jatuh ke tangan pengganas tersebut dan kini berjuang untuk menawan semula kawasan terakhir yang dikuasai pelampau di kota kedua Mosul.

Namun kekalahan di medan perang tidak menghalang IS melancarkan serangan berdarah yang menyasari orang awam. — AFP

Advertisement