Anda di sini

Filipina mahu Maute segera serah diri

Advertisement

Kekacauan di Marawi ternyata semakin buruk, orang awam masih terperangkap

 Asap berkepul-kepul dari lokasi pertempuran di antara askar kerajaan dan militan Maute dekat sebuah masjid di Marawi City, selatan Filipina semalam. — Gambar Reuters
MENCEMASKAN: Asap berkepul-kepul dari lokasi pertempuran di antara askar kerajaan dan militan Maute dekat sebuah masjid di Marawi City, selatan Filipina semalam. — Gambar Reuters

MARAWI: Pihak berkuasa Filipina semalam menggesa puak militan Islamis yang menduduki beberapa bahagian di sebuah kota selatan untuk menyerah demi orang awam yang terperangkap, manakala helikopter serangan membedil kubu kuat puak itu dengan roket.

Lebih 100 orang disahkan terbunuh dalam pertempuran, yang bermula Selasa minggu lepas apabila lelaki bersenjata yang mengibarkan bendera hitam kumpulan Islamic State (IS) mengamuk di kota majoriti penduduk Islam, Marawi.

Presiden Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera di seluruh wilayah selatan Mindanao, yang mempunyai kira-kira 20 juta penduduk, sebagai tindak balas kepada krisis itu dan memberi amaran bahawa kumpulan militan tempatan sedang bersatu di belakang IS dan menjadi ancaman keselamatan yang besar.

Namun puak militan, pada mulanya dianggarkan oleh ketua pertahanan hanya seramai 100 orang sahaja, berjaya menangkis serangan udara dan pertempuran di jalan raya yang sengit selama lapan hari, yang memaksa kerajaan untuk membuat seruan kepada mereka agar menyerah diri semalam.

Kami memberi peluang kepada mereka di dalam untuk menyerah diri. Peluang masih ada untuk meletak senjata,” kata jurucakap tentera Brigadier-Jeneral Restituto Padilla dalam radio DZBB.

Jika anda berbuat demikian, ia adalah lebih bagus supaya tidak ada orang lain yang akan diheret ke dalam ini, tiada lagi bangunan dimusnahkan.”

Ditanya kenapa kerajaan telah mengeluarkan seruan untuk menyerah diri, jurucakap presiden Ernesto Abella berkata: “Untuk mengurangkan kerosakan di lapangan, sudah tentulah supaya orang awam kurang terjejas.”

Seramai 2,000 penduduk terperangkap dalam kawasan yang ditawan oleh puak militan, menurut kerajaan tempatan, dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa telah menyuarakan kebimbangan bahawa mereka akan terperangkap di dalam pertempuran atau serangan bom.

Puak militan turut menculik seorang paderi dan seramai 14 orang lain pada permulaan krisis itu, dan nasib mereka masih belum diketahui.

Helikopter melepaskan roket ke atas sebuah kawasan di kota berkenaan yang dikuasai puak militan sepanjang pagi semalam, dan asap hitam naik dari bangunan yang dipercayai terkena serangan, menurut seorang pemberita AFP di Marawi.

Lelaki bersenjata terbabit disokong oleh pejuang asing, termasuk dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, kata pihak berkuasa.

Keganasan bermula apabila puluhan lelaki bersenjata mengamuk dalam tindak balas kepada cubaan oleh pasukan keselamatan untuk menangkap Isnilon Hapilon, seorang anggota militan veteran Filipina yang dianggap sebagai ketua tempatan IS.

Hapilon, seorang anggota kanan dalam kumpulan culik-untuk-wang tebusan Abu Sayyaf, berada dalam senarai pengganas paling dikehendaki kerajaan AS.

Dia dilindungi di Marawi oleh kumpulan tempatan Maute, yang menjanjikan taat setia kepada IS.

Lebih 100 banduan dari dua penjara di Marawi lari ketika konflik bermula.

Pihak tentera berkata, beberapa banduan yang bolos mungkin sudah menyertai peperangan. — AFP

Advertisement