Anda di sini

Empat doktor didakwa buat perakuan palsu

Advertisement

Memperdaya JPJ berkaitan pemeriksaan kesihatan untuk memperbaharui Lesen PSV

 Dr Kamal (kanan) dan Dr See cuba melindungi muka ketika dibawa untuk diikat jamin di Mahkamah George Town dekat George Town, semalam. — Gambar Bernama
MEMPERDAYA: Dr Kamal (kanan) dan Dr See cuba melindungi muka ketika dibawa untuk diikat jamin di Mahkamah George Town dekat George Town, semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Empat doktor dan dua lelaki yang bertindak sebagai ‘runner’ semalam dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini dan Butterworth atas tuduhan memperdayakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan pemeriksaan kesihatan beberapa individu untuk memperbaharui Lesen Pengangkutan Kenderaan Awam (PSV), Februari lepas.

Tertuduh Dr Kamal Fasha Hussain, Dr See Teik Guan, Chan Ah Kow dan Lim Geok Huat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Dr Kamal Fasha, 55, didakwa cuba memperdaya JPJ dengan memanipulasi pemeriksaan kesihatan fizikal terhadap Hasrol Hissam Osman, 41, melalui borang permohonan lesen vokasional (JPJ L8) di Poliklinik Perdana No 559-E, Jalan Sungai Dua, Gelugor, kira-kira jam 11.20 pagi, 14 Feb lalu.

Dr See, 49, turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Mohd Firdaues  Azizan, 34, di Poliklinik See, No 3 Lorong Sungai Emas Eden Square, Batu Ferringhi, kira-kira 2.25 petang, pada tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 28(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit  kesalahan.

Sementara itu, Lim, 54 dan Chan, 57, yang bertindak sebagai ‘runner’ didakwa cuba menipu dengan borang JPJ L8 yang masing-masing diperakui Dr Goh Guan Poh dan Dr Ooi Cheng Har, di hadapan JPJ Cawangan Batu Uban di sini, dari jam 11.45 pagi hingga 12 tengah hari, pada tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta yang sama, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Dr Kamal Fasha, Dr See, Chan dan Lim diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh dan menetapkan 14 Julai sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri, manakala Dr Kamal Fasha dan Dr See diwakili peguam Jason Khor, Chan diwakili peguam RSN Rayer dan Lim diwakili peguam Ang Chun Pun.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Butterworth, dua doktor didakwa cuba menipu JPJ untuk mempercayai bahawa pemeriksaan kesihatan secara fizikal telah dijalankan terhadap Mohd Firdaues melalui borang JPJ L8 bagi mendorong jabatan itu memproses permohonan untuk memperbaharui lesen itu.

Dr Ding Yong Chaung, 73, mengaku bersalah manakala Dr Lutfi Mohamad Rashidi, 32, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Dr Ding dituduh melakukan kesalahan itu di Ding Poliklinik dan Surgeri, No 30 Jalan Tembikai, Taman Mutiara, Bukit Mertajam pada jam 11.45 pagi 14 Feb lepas manakala Dr Lutfi pula didakwa melakukan kesalahan itu di Klinik Rashidi No 8, Jalan Ciku Bukit Mertajam, pada jam 12.20 tengah hari, pada tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 kanun yang sama yang boleh dihukum penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Amin Yakob menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin untuk Dr Ding yang tidak diwakili peguam dan Dr Lutfi yang diwakili peguam M. Puveneswaran.

Namun selepas rayuan dibuat oleh kedua-dua pihak tertuduh, mahkamah menetapkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh dan menetapkan 13 Jun untuk jatuh hukum terhadap Dr Ding dan 4 Julai untuk sebutan semula kes terhadap Dr Lutfi.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan sementara menunggu kes selesai. — Bernama

 Dr Lutfi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth semalam. — Gambar Bernama
DIDAKWA: Dr Lutfi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth semalam. — Gambar Bernama
Advertisement