Anda di sini

Elak kekeliruan: Premis perniagaan disaran asing barangan dikenakan GST

Advertisement
 Jainab (dua kiri) sedang menyempurnakan gimik pelancaran beg kitar semula Giant pada majlis berkenaan.
MESRA ALAM: Jainab (dua kiri) sedang menyempurnakan gimik pelancaran beg kitar semula Giant pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Premis perniagaan disaran menyediakan tempat letak khas untuk mengasingkan barangan yang dikenakan Cukai Barang dan Per-khidmatan (GST) dengan barangan yang tiada cukai berkenaan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, ia perlu dilaksanakan memandangkan masih ada rakyat keliru dengan senarai barangan yang dikenakan cukai itu.

Cadangan ini kita terima daripada idea orang ramai yang mahu barangan yang dikenakan GST diasingkan bagi mengelak tertipu oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga sesuka hati.

Jadi kementerian kita mahu premis perniagaan mengasingkan barangan ini kerana bukan semua barangan dikenakan GST termasuk beberapa jenis kategori seperti barangan kawalan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) penyerahan Bubur Lambuk dan pelancaran Beg Kitar Semula Giant, di sini Sabtu lepas.

Sehubungan itu, Jainab berharap semua pihak memberi kerjasama, sekali gus mengubah persepsi masyarakat yang mengatakan GST adalah punca kenaikan harga barang masa kini.

Sempena Ramadan pula, beliau sempat mengingatkan peniaga bazar supaya sentiasa menjaga kebersihan sekitar gerai termasuk penyediaan makanan yang dijual.

Tegasnya, sekiranya didapati kotor, kementerian beliau bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengenakan tindakan sewajarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pasar Raya Giant Malaysia Timur dan Brunei Marius Knight berkata, pihaknya komited melaksanakan CSR setiap tahun bersempena menyambut Ramadan dengan kerjasama Adabi.

Menurutnya, selain mengagihkan bubur lambuk pada majlis itu, Giant turut melancarkan 1 juta beg kitar semula.

Pelanggan hanya perlu membelanjakan RM50 dalam satu resit tunggal di mana-mana kedai Giant untuk mendapatkan beg kitar semula yang boleh digunakan sepanjang anda membeli-belah di premis ini.

Program ini sudah masuk tahun kelima dan semestinya majlis ini bukan hanya menjadi tanggungjawab berterusan malah bertujuan menyokong usaha kerajaan mengurangkan penggunaan beg plastik demi menjaga kebersihan alam sekitar,” katanya.

Pada hari sama, majlis sedemikian turut diadakan di Pasar Raya Giant Indah Permai, disambung pada 10 Jun di Giant Putatan seterusnya di Giant Papar pada 17 Jun depan.

Majlis itu turut meraikan seramai 10 keluarga kurang berkemampuan dengan mengadakan majlis berbuka puasa bersama. Turut hadir Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai.

Advertisement