Anda di sini

Doktor didakwa perdaya JPJ perbaharui lesen vokasional

Advertisement

IPOH: Seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan memperdayakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi maksud untuk urusan memperbaharui lesen vokasional (JPJ L8), tiga bulan lepas.

Dr S.P. Samuel Kumar, 59, didakwa cuba memperdayakan JPJ dengan menyatakan telah melakukan pemeriksaan kesihatan secara fizikal terhadap Mohd Firdaues Azizan, 34, dan Hasrol Hissam Osman, 41, melalui borang permohonan JPJ L8.

Tertuduh dengan sengaja cuba mendorong jabatan itu memproses permohonan bagi memperbaharui lesen vokasional berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah klinik di Parit Buntar masing-masing antara jam 10.15 pagi hingga 3.40 petang dan pukul 2.20 petang, pada 14 Feb lepas.

Doktor tersebut didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 28(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Sudesh Singh.

Hakim S. Indra Nehru membenarkan Dr Samuel Kumar diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan selain mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kesemua kes. — Bernama

Advertisement